MELAKA: Persatuan Lawn Tenis Melaka (MLTA) akan memperkenalkan program 'Tennis For All' bagi menarik lebih ramai bakat muda untuk menceburi sukan berkenaan di negeri itu.

Presiden MLTA Muhammad Shahrul Hafidz Ab Rahim berkata bagi mencapai usaha tersebut, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan negeri untuk mengenal pasti dan melatih pelajar sekolah rendah dan menengah, untuk terlibat dalam program pembangunan berkenaan.

"Kita berhasrat untuk melaksanakan program ini bermula November depan, dengan melibatkan sekurang-kurangnya 100 pelajar dan guru dari dua sekolah.

"Setiap bulan, kesemua peserta akan dipilih dari sekolah-sekolah berlainan dan mereka akan dilatih secara percuma dan usaha ini secara tidak langsung dapat mengembangkan lagi sukan berkenaan di Melaka," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Terdahulu, beliau hadir program penyampaian insentif atlet yang akan menyertai Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dan Atlet Pembangunan Tenis Melaka di Ayer Keroh di sini.

Muhammad Shahrul berkata program itu juga antara misi persatuan untuk menjadikan sukan tenis sebagai pilihan utama rakyat Melaka dan secara tidak langsung program tersebut akan melahirkan lebih ramai pemain yang mampu diketengahkan di peringkat lebih tinggi.

Dalam pada itu, beliau berkata enam pemain lelaki dan empat wanita akan mewakili Melaka dalam lima kategori dipertandingkan pada Sukma 2022, yang dijadual berlangsung dari 16 hingga 24 Sept ini.

Lima kategori yang akan dipertandingkan ialah perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.

"Sasaran kita ialah meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa bagi beregu lelaki dan beregu campuran kerana pemain kita mempunyai kekuatan tersendiri dalam kategori tersebut " katanya.

-- BERNAMA