Atlet Muay Thai negara, Mohd Azizi Shamsuddin mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai atlet terbaik Kejuaraan Muay Thai Antarabangsa Ambassador di sini.

Mohd Azizi meraih gelaran itu selepas mencatatkan kemenangan KO (Knock-Out) terhadap lawannya dari Thailand mulai pusingan pertama sehingga menjuarai kategori 48kg setelah menundukkan peserta tuan rumah pada aksi final.

Pengurus pasukan negara, Mohd Hazrul Mohd Sapri memberitahu Bernama bahawa Mohd Azizi menampilkan prestasi hebat sepanjang kejohanan baru-baru ini dan merupakan satu-satunya peserta mencatatkan kemenangan KO dalam semua pertarungannya.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi seorang lagi atlet negara, Mohd Hazril Nazmi apabila tewas menerusi kiraan mata di tangan peserta tuan rumah pada saingan sengit aksi final.

Menurut Mohd Hazrul, Mohd Hazril memberikan saingan hebat sebelum kecundang di tangan atlet Thailand dalam kategori 55kg.

Sebanyak 100 atlet dari 14 negara menyertai kejohanan itu yang diadakan secara pusingan liga di sebuah hotel terkemuka di sini.