NAM DINH: Kehadiran jurulatih skuad senior Thailand, Alexandre Polking membimbing pasukan muda negara itu tidak menjejaskan tumpuan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan untuk memulakan saingan acara bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31 dengan langkah kanan.

Menjelang pertembungan kedua-dua negara pada aksi sulung Kumpulan B di Stadium Thien Truong di sini malam ini, pemain tengah Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi berkata fokus pasukan hanya tertumpu kepada usaha membentuk skuad terbaik.

Bagi pemain Selangor FC itu, sesiapa sahaja yang mengendalikan Thailand tidak menjadi masalah kerana beliau lebih yakin dengan kemampuan Ketua Jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Brad Maloney mengemudi pasukan dalam misi mencipta kejayaan membanggakan.

"Saya percaya kepada jurulatih (Maloney) sebab dia sudah tahu semua pemain di sini dan dia sudah tahu barisan pemain boleh ikut taktikalnya, dia juga mengumpulkan pemain yang faham dan boleh melaksanakan perancangannya.

"Bagi saya ini pun satu pendedahan untuk Skuad B-23, dan kita akan berikanlah apa yang kita ada, dan saya percaya kepada rakan sepasukan saya boleh buat untuk perlawanan itu (menentang Thailand)," kata pemain berusia 21 tahun itu ketika ditemui, di sini.

Bulan lepas, Polking yang merupakan jurulatih kelahiran Brazil diumumkan sebagai pengendali skuad Thailand ke Sukan SEA ke-31 setelah membantu pasukan senior menjuarai kejohanan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2020, awal Januari lepas.

Kejayaan merangkul gelaran juara kejohanan dwitahunan itu hadir hanya tiga bulan selepas beliau dilantik sebagai jurulatih skuad Gajah Perang pada penghujung September tahun lalu bagi menggantikan jurulatih dari Jepun Akira Nishino yang dipecat.

Sementara itu, Muhammad Mukhairi menggesa kesemua pemain tidak terlalu memikirkan mengenai jurang prestasi antara pasukan negara dan Thailand, selain cabaran yang bakal diberikan pihak lawan itu pada perlawanan hari ini.

"Tahun lepas kita dah berlawan di Mongolia (Kelayakan Piala Asia B-23 2022), bagi saya kita tidak boleh nak tengok apa Thailand punya taktikal dan sebagainya, kita kena fokus pada pasukan dulu. Apa yang diarahkan jurulatih kita lakukan di padang," katanya.

Perlawanan di Mongolia itu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan sekali gus menyaksikan anak buah Maloney muncul juara Kumpulan J untuk layak secara automatik ke pusingan akhir di Uzbekistan, bulan depan.

Selepas bertemu Thailand, Malaysia dijadual menentang Laos pada 11 Mei, Singapura (14 Mei) dan Kemboja 16 Mei di venue sama dalam memburu dua slot terbaik ke peringkat separuh akhir.

-- BERNAMA