KUALA LUMPUR: Pemain golf profesional wanita negara, Natasha Andrea Oon meneruskan peningkatan mengagumkan dalam golf wanita apabila buat julung kalinya berjaya menembusi kelompok 300 pemain terbaik dalam ranking dunia.

Ini susulan pencapaian gelaran naib juara pada siri Jelajah Epson di Kejohanan Twin Bridges di New York, Ahad lalu, selepas tewas kepada pemain Amerika Syarikat, Jenny Bae, pada penentuan lima-lubang 'sudden-death playoff' di pusingan akhir,

Bermula musim tahun ini di ranking ke-821, pemain berusia 21 tahun itu telah mula mencatatkan kenaikan anak tangga dalam ranking dunia dengan persembahan terpuji dalam siri Jelajah Epson untuk muncul pemain utama Malaysia dengan kedudukan ke-282 dengan purata 0.40 mata.

Pencapaian tersebut sekali gus memintas pemain Olimpik negara, Kelly Tan yang menghuni tangga ke-333 dengan mengumpul purata 0.33 mata manakala purata 0.16 mata oleh pemain wanita ketiga terbaik negara, Alyaa Abdulghany, di kedudukan ke-516.

"Saya belajar banyak daripada pengalaman ini. Saya benar-benar bersyukur berada dalam kedudukan ini dan berharap saya akan dapat mengharunginya satu hari nanti," kata Natasha dalam kenyataan, semalam.

Alumuni San Jose State University, yang menjadi pemain profesional pada Jun tahun lalu, kini telah mencatatkan tujuh penamat 10 terbaik termasuk empat pencapaian naib juara dalam 13 kejohanan Jelajah Epson tahun ini.

Jelajah Epson ialah sirkit kelayakan rasmi untuk Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) dengan 10 pemain terbaik di akhir kejohanan penghujung musim Oktober ini akan memperoleh kad penyertaan untuk kejohanan Jelajah LPGA untuk musim 2024.

-- BERNAMA