KUALA LUMPUR: Selepas seri dalam dua aksi terakhir Liga Super, Negeri Sembilan FC akhirnya kembali mencatatkan kemenangan apabila membelasah Sri Pahang FC 3-0 pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, malam tadi.

Kejayaan di laman sendiri menyaksikan Juara Liga Premier musim lepas itu meraih kemenangan kelima selepas 10 aksi untuk berada di kedudukan kedua liga, berkongsi 19 mata dengan pendahulu Johor Darul Ta'zim (JDT) yang kurang tiga perlawanan.

Pada aksi malam ini, Negeri Sembilan bimbingan K Devan yang hanya tewas sekali setakat ini mendahului permainan pada minit ke-35 menerusi Gustavo Almeida Dos Santos sebelum Yaser Armando Pinto Islame menggandakan kedudukan tiga minit selepas rehat.

Skuad tuan rumah terus menambah derita pasukan pelawat pada minit ke-53 apabila giliran Matheus Alves Leandro mencetak nama sebagai penjaring sebelum keputusan 3-0 kekal sehingga wisel penamat yang menyaksikan kemarau tiga perlawanan tanpa kemenangan Sri Pahang berterusan.

Kekalahan keenam dicatat Sri Pahang itu mengakibatkan Skuad Tok Gajah jatuh ke kedudukan kedua tercorot apabila sekadar mengumpul lapan mata, hanya dipisahkan satu mata di atas Penang FC yang berada di dasar liga.

Pada masa sama, jaringan di masa kecederaan babak kedua Francis Kone memastikan Sarawak United FC bangkit bergaya menewaskan Melaka United 3-2 di Stadium Hang Jebat sekali gus keluar dari zon penyingkiran.

Sony Norde meletakkan Melaka United di depan pada minit ke-18 sebelum Gonzalo Soto menyamakan kedudukan lima minit kemudian, namun Melaka United kembali mendahului 2-1 hasil ledakan Syazwan Andik Ishak pada minit ke-34 yang gagal ditampan penjaga gol Tauffiq Ar Rasyid Johar.

Meskipun ketinggalan, Sarawak United tidak menyerah kalah dan sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-61 hasil penyudah Soto yang mencetak gol kedua peribadinya sebelum Kone mengesahkan kejayaan pasukan untuk membawa pulang tiga mata berharga.

Sementara itu, dalam saingan Liga Premier, UiTM FC melebarkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan selepas melakar kemenangan 3-0 ke atas Terengganu FC (TFC) II dengan Ahmad Zafri Zakaria muncul wira apabila meledak hatrik di Stadium UiTM, Shah Alam.

Dua daripada tiga gol dijaringkan Ahmad Zafri hadir menerusi sepakan penalti yang disempurnakan masing-masing pada minit ke-38 dan ke-54 selepas beliau memecah kebuntuan untuk meletakkan UiTM di depan pada minit ke-26.

Di Stadium Negeri, Kuching, perlawanan yang terhenti seketika akibat hujan lebat menyaksikan pasukan tuan rumah, Kuching City FC meraih kemenangan ketiga berturut-turut selepas mengatasi PDRM FC 2-1.

Abu Kamara muncul wira pasukan apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan babak kedua apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 hasil jaringan pembukaan skuad tuan rumah menerusi Wan Faiz Wan Sulaiman pada minit kelapan dan gol penyamaan G Durrkeswaran pada minit ke-70.

Dalam pada itu, pasukan tercorot Liga Premier Perak FC mengejutkan pasukan tuan rumah, Kelantan United FC 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Kuala Terengganu yang menyaksikan Luciano Guaychochea menjaringkan gol tunggal pada minit ke-87.

-- BERNAMA