Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David merangkul gelaran Terbuka Malaysia untuk kali kelapan selepas membalas dendam terhadap juara bertahan Raneem El Weleily pada final di sini pada Ahad.

Nicol, selaku pemain nombor satu dunia, mencatatkan kemenangan pertama dalam kalendar Persatuan Skuasy Wanita (WSA) musim ini, dengan kemenangan straigh set 11-8, 11-7 dan 11-6.

Pemain pilihan utama berusia 30 tahun itu mengambil masa 34 minit untuk menebus kekecewaan terhadap pemain muda Mesir itu yang menyekat penguasaan Nicol selama tujuh tahun berturut-turut pada edisi tahun lepas.

"Raneem memiliki kemahiran tinggi dan enggan menyerah walaupun letih selepas pertarungan lima set dalam separuh akhir semalam. Perlawanan ini memang sengit dan pada set akhir, saya mendapat momentum untuk terus mencapai kejayaan," kata Nicol.

Pada edisi tahun lepas, Nicol kalah mengejut 3-1 kepada Raneem, pemain berusia 24 tahun yang menduduki ranking ketiga dunia.

Nicol juga berkata beliau terharu dengan sokongan peminat tempatan yang membanjiri gelanggang di pusat membeli-belah 'The Curve, Mutiara Damansara, di sini.

Atas kejayaan itu, Nicol menerima trofi dan hadiah wang tunai US$10,200 (RM33,558) manakala Raneem membawa pulang US$6,900 (RM22,701).

Selepas ini, Nicol akan menyertai Terbuka Carol Weymuller di Amerika Syarikat dari 1 hingga 6 Okt ini.

Dalam kategori lelaki pula, Peter Barker, yang mengalami kecederaan hidung semalam, merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia buat pertama kali selepas menyingkirkan juara bertahan Tarek Momen dari Mesir.

Pemain England itu dengan ranking ketujuh dunia mengambil masa 70 minit untuk mengatasi Tarek dengan keputusan 11-5, 9-11, 11-5 dan 11-3.

"Sungguh meletihkan selepas menyambung semula perlawanan separuh akhir menentang Borja Golan pada sebelah pagi dan kemudian Tarek dalam hari yang sama.

"Saya sungguh gembira dengan kemenangan ini," kata Barker yang menerima hadiah wang tunai US$8,075 (RM26,566) manakala Tarek menerima US$5,525 (RM18,177).