SUKAN
Norris catat masa terpantas dalam latihan pertama GP F1 Sepanyol

Norris mencatat masa satu minit 13.718 saat untuk mengatasi pelumba Red Bull yang juga juara dunia empat kali berturut-turut, Max Verstappen. - Reuters
BARCELONA: Pelumba McLaren, Lando Norris mencatat masa terpantas dalam sesi latihan pertama Grand Prix Formula Satu (F1) Sepanyol pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Juara Grand Prix Monaco hujung minggu lalu itu merekodkan masa satu minit 13.718 saat untuk mengatasi pelumba Red Bull yang juga juara dunia empat kali berturut-turut, Max Verstappen, dengan kelebihan 0.367 saat.
Lewis Hamilton yang kini bersama Ferrari berada di tempat ketiga, diikuti rakan sepasukan Charles Leclerc.
Pendahulu kejuaraan dunia, Oscar Piastri pula mencatat masa kelima terpantas, ketinggalan 0.576 saat di belakang rakan sepasukan dan pencabar kejuaraan, Norris.Dua pelumba Mercedes, George Russell dan Kimi Antonelli masing-masing mencatat masa ke-11 dan ke-18, manakala pelumba tuan rumah, Fernando Alonso menduduki tempat ke-13 bersama pasukan Aston Martin.
Selepas perlumbaan di Monaco, Piastri kekal sebagai pendahulu kedudukan keseluruhan, namun hanya mendahului Norris dengan tiga mata.
McLaren mendominasi musim ini setakat ini, dengan Piastri memenangi empat perlumbaan dan Norris dua daripada lapan perlumbaan yang telah berlangsung. Verstappen merupakan satu-satunya pelumba bukan McLaren yang berjaya merangkul kemenangan Grand Prix tahun ini.
Sesi latihan kedua dijadual berlangsung kemudian pada Jumaat, manakala sesi kelayakan bagi perlumbaan utama Ahad akan diadakan pada Sabtu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami