LIVERPOOL semakin hampir untuk mendapatkan Darwin Nunez selepas bersetuju dengan bayaran £64 juta (RM296 juta) diminta Benfica untuk penyerang Uruguay itu.

Penyerang itu akan menjalani pemeriksaan kesihatan dengan The Reds dengan syarat peribadi untuk kontrak enam tahun di Anfield.

Nunez juga sebelum ini dikehendaki Manchester United dan perpindahan ke Anfield boleh menjadi tamparan awal kepada Erik ten Hag, namun Liverpool mampu menawarkan pentas Liga Juara-Juara dan penyerang itu lebih suka berpindah ke Merseyside.

Dia berkemungkinan menjadi pemain rekod Liverpool, menggantikan Virgil van Dijk bernilai £75 juta (RM347 juta), dengan nilai tambah sehingga £21 juta (RM97 juta) berdasarkan penampilannya dan kejayaan pasukan.

Benfica sebelum ini mahukan £68 juta (RM314 juta) untuk pemain berusia 22 tahun itu, namun pengarah baharu bola sepak Liverpool, Julian Ward, telah ke Portugal untuk perbincangan dan merundingkan bayaran lebih rendah.

Perpindahan Nunez akan membantu memudahkan Sadio Mane berpindah ke Bayern Munich, dengan Liverpool berusaha mendapatkan pengganti sebelum menjual pemain Senegal itu, walaupun juara Bundesliga Jerman tersebut masih belum memenuhi harga diminta kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu £42 juta (RM194 juta).

Untuk rekod, Nunez menjaringkan 34 gol untuk Benfica musim lalu, menamatkan saingan sebagai penjaring terbanyak dalam liga Portugal dan menjaringkan gol dalam kedua-dua perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara menentang Liverpool.

Jurgen Klopp memujinya selepas jaringannya di Anfield berkata: “Pemain yang memiliki penampilan menakjubkan, dan pemain yang juga sangat baik. Benar-benar bagus, anda perlu katakan, kuat dari segi fizikal, cepat serta apabila dia menjaringankan, dia benar-benar tenang. Jika dia kekal konsisten, kerjaya lebih besar menanti di hadapannya."

Untuk rekod, Nunez bakal menjadi penyerang kedua yang ditandatangani Liverpool dari Portugal pada 2022, selepas Luis Diaz, namun pada masa sama kelab itu pasti kehilangan seorang penyerang, diikuti Divock Origi, dan Takumi Minamino serta mungkin menyusul Mane.


*Berita asal disiarkan di Sinar Harian