KUALA LUMPUR : Satu sidang media khas akan diadakan pada jam 2.30 petang ini bagi menjelaskan kedudukan pingat emas atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli  yang dibatalkan di Sukan Paralimpik Tokyo pada Selasa.

Sidang media yang bakal diadakan oleh pihak chef de mission (CDM) sebentar nanti adalah bagi menjelaskan status pingat bagi acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan fizikal) itu.

Terdahulu, rayuan kontinjen Malaysia bagi mengesahkan pingat emas milik jaguh lontar peluru para negara itu ditolak pihak penganjur dalam mesyuarat melibatkan pihak CDM pada Rabu.

BACA: Ziyad Zolkefli minta maaf

BACA: Ziyad juara sebenar, pingat emas dirampas - Azizulhasni

BACA: Paralimpik Tokyo 2020: Keputusan batal pingat emas Ziyad kekal

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker memaklumkan, Majlis Paralimpik Malaysia akan membuat bantahan secara rasmi kepada International Paralympic Comittee & World Para berhubung keputusan yang diputuskan terhadap Ziyad.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecah rekod dunia milik Muhammad Ziyad.

Perak juga milik atlet Ukraine, Oleksandr Yarovyi, dengan lontaran 17.30m manakala gangsa milik Efstratios Nikolaidis dari Greece, dengan lontaran 15.93m.

Kontinjen Malaysia bersama Australia dan Ecuador yang tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan telah melancarkan protes sejurus keputusan akhir dikeluarkan kepada pihak jawatankuasa teknikal pertandingan.