KUALA LUMPUR: Atlet mewakili Malaysia ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 mendapat 'tonik berharga' selepas mendapat kata-kata semangat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam sidang video bersama kontinjen Malaysia pada Selasa, Ismail Sabri menyatakan dirinya dan seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian semua atlet tersebut yang membawa nama negara.

Beliau juga berdoa agar Jalur Gemilang berkibar megah di Tokyo dan lagu Negaraku turut berkumandang di sana bagi meraikan kejayaan mereka.

 
Sumber Facebook ismailsabri60

“Walau apa pun doa saya adalah untuk mereka pulang kepada kita Keluarga Malaysia dengan selamat.

“Tak kiralah apa sahaja keputusannya, saya mahu anda tahu bahawa anda semua adalah juara di hati kami.

“Ayuh Malaysia!” tulisnya dalam laman Facebook beliau sebentar tadi.

Seramai 4,400 atlet dari 160 negara akan bertanding dalam 22 jenis sukan ditawarkan pada temasya Paralimpik kali ini yang bermula pada 24 Ogos dan berakhir pada 5 September nanti.

Bagi Malaysia pula, seramai 22 atlet akan menyahut cabaran mengibar Jalur Gemilang dalam sembilan jenis sukan disertai kontinjen negara.

BACA: Paralimpik: Misi atlet 'luar biasa' atasi pencapaian Rio bermula esok

Astro AWANI sebelum ini melaporkan sasaran tiga pingat emas kontinjen Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tidak terjejas walaupun berlaku perubahan dalam pucuk pimpinan kerajaan, kata Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Beliau menegaskan tiada campur tangan politik dalam sukan dan amalan itu perlu diteruskan, selain menjelaskan sasaran diumumkan Menteri Belia dan Sukan terdahulu turut berpandukan tahap prestasi barisan atlet negara sekali gus menjadikan ia sasaran yang realistik.

Bagaimanapun, beliau selaku ketua kontinjen negara ke temasya itu tidak terkejut jika Malaysia berjaya melepasi angka sasaran ditetapkan memandangkan kontinjen negara mempunyai kekuatan tersendiri dalam beberapa sukan yang dipertandingkan.