Kerja-kerja pembinaan Stadium Ragbi Nasional pertama di Malaysia akan bermula pada September ini dengan kapasiti tempat duduk penonton dikurangkan kepada 1,250, kata Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan stadium yang dibina di Presint 14, Putrajaya dengan menelan belanja RM17 juta itu mempunyai kawasan luas yang berupaya menampung jumlah penonton sehingga 5,000 orang dalam satu masa.

Jelas Shahrul Zaman, KRM berhasrat menambah kapasiti tempat duduk penonton di stadium yang dibina secara modular itu sekiranya bajet tambahan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) diluluskan kerajaan.

"Kita minta 5,000 dari segi kapasiti tempat duduk penonton tetapi dapat 1,250, namun jika kita lihat dari segi penonton yang hadir berdiri dan duduk di sekeliling padang, kita boleh dapat jumlah 5,000 penonton.

"Stadium itu dibina secara modular jadi apabila kita dapat dana tambahan daripada pihak kerajaan atau swasta maka stadium itu boleh dinaik taraf secara berfasa," katanya pada sidang media majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KRM dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini hari ini.

Projek berkenaan dijadual bermula pada Mei lepas dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh sekitar 18 hingga 24 bulan, namun pandemik COVID-19 membataskan kerja-kerja pembinaan.

Stadium itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti gimnasium, pusat rawatan, ruang komersial dan padang latihan yang akan dibina secara berperingkat.

Dalam perkembangan berasingan, Shahrul Zaman berkata KRM sedang mengkaji semula keperluan mendapatkan khidmat jurulatih luar negara untuk membimbing skuad lelaki dan wanita tujuh sepasukan (7's) kebangsaan.

Jelasnya, setakat ini program latihan kedua-dua pasukan kebangsaan itu berjalan mengikut perancangan dengan dikendalikan jurulatih berpengalaman tempatan.

"Setelah dimaklumkan oleh MSN (Majlis Sukan Negara), kita terpaksa melihat semula dari segi kos kerana sebahagian besar dana kerajaan diperuntukkan untuk tujuan menangani kesan COVID-19," katanya.

Perkembangan penularan pandemik COVID-19 menyaksikan Ragbi Asia membatalkan semua kejohanan di Asia yang dijadual berlangsung dari 1 Okt hingga 31 Dis.

-- BERNAMA