SPORTS
Pemenang pingat Paralimpik 2024 dijangka terima ganjaran selepas Aidilfitri - MPM

Megat D. Shahriman (tengah) bergambar bersama penerima sumbangan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kuih Raya kepada 66 Atlet Paralimpik di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Ganjaran wang tunai yang dijanjikan kepada atlet yang berjaya membawa pulang pingat pada temasya Sukan Paralimpik 2024 di Paris dijangka diterima selepas sambutan perayaan Aidilfitri.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata pihaknya sedang menguruskan perkara tersebut dengan sebuah syarikat luar negara yang sebelum ini telah berjanji untuk menyediakan ganjaran tersebut.
Bagaimanapun, katanya terdapat kekangan daripada pihak penaja berkenaan.
Beliau mengulas isu tersebut selepas timbul keluhan daripada beberapa atlet yang masih menantikan ganjaran tersebut."Untuk makluman, hanya ada satu pihak penaja, iaitu sebuah syarikat luar negara dan kami sedang berusaha menyusun jadual untuk mereka menyerahkan wang ganjaran itu. Kami tidak pasti atlet mana yang mendakwa belum menerima ganjaran, tetapi tarikh dan masa sudah dimaklumkan kepada mereka.
"Saya rasa ini bukan isu besar. Semua pihak sepatutnya akan menerima ganjaran mereka. Berdasarkan maklumat yang kami terima, pembayaran dijangka dibuat pada suku pertama tahun ini tetapi mungkin selepas Hari Raya Aidilfitri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan Hari Raya Aidilfitri daripada syarikat korporat dan badan bukan kerajaan kepada atlet di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia, Kampung Pandan, di sini hari ini.
Malaysia berjaya menutup tirai Sukan Paralimpik Paris dengan membawa pulang dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa.
Terdahulu, kira-kira 60 atlet para diraikan dalam majlis tersebut, yang turut dihadiri oleh Setiausaha Agung MPM Datuk R. Subramaniam dan Presiden Persatuan OKU Sentral Datuk Dr Ras Adiba Radzi.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami