KUALA LUMPUR: Pesilat muda, Mohd Shahrul Zeckry Sulaiman memikul tanggungjawab yang cukup besar di Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, meskipun temasya itu merupakan penampilan pertama beliau di peringkat antarabangsa.

Ini kerana, pesilat berusia 23 tahun berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu menjadi sandaran baharu bagi kelas Putra F (70-75 kilogram) menggantikan bekas juara dunia Mohd Al Jufferi Jamari.

"Ada sedikit rasa tertekan kerana bebanan menggantikan kelas Al Jufferi, namun saya mesti yakin 100 peratus dengan diri sendiri," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Mohd Shahrul berkata walaupun kali pertama beraksi di peringkat antarabangsa, jurulatih silat negara Nasri Nasir dan atlet senior yang lain banyak memberi panduan dan nasihat kepadanya dalam menghadapi cabaran pesilat luar negara.

"Mereka (atlet senior) memberi tunjuk ajar cara untuk berlawan, cara untuk mengatasi rintangan daripada pihak lawan dalam gelanggang dan teknik yang bagus untuk digunakan," katanya.

Mohd Shahrul meraih tempat dalam skuad kebangsaan pada Februari lepas, selepas merangkul pingat emas pada Kejohanan Silat Kebangsaan ke-20 di Johor pada Disember.

Beliau akan membuka kempen cabaran skuad silat negara di Sukan SEA di Pusat Konvensyen Chroy Changvar, esok.

-- BERNAMA