PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meminta penganjur perlumbaan bertanggungjawab berhubung insiden yang menyebabkan pelumba drag Muhammad Hattem Rashdi meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan Ahad lepas.

Ketua Setiausaha KBS Dr K. Nagulendran berkata ia berikutan penganjuran perlumbaan Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023 tidak mendapat kelulusan daripada Persatuan Permotoran Malaysia (MAM).

Beliau berkata KBS juga telah meminta MAM untuk menjalankan tindakan susulan dengan penganjur bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung insiden berkenaan.

"Aktiviti tersebut kita sudah semak dan penganjur tidak mendapat kelulusan (daripada MAM) selain bukan program disokong KBS.

"Kami kesal kejadian ini berlaku, penganjur harus bertanggungjawab kerana saya tidak rasa ia sesuatu yang betul untuk mengadakan perlumbaan tanpa kelulusan dan langkah-langkah keselamatan," katanya pada sidang media bersempena Hari Sukan Negara (HSN) 2023 di sini hari ini.

Menurut Nagulendran, penganjur aktiviti sukan bukan sahaja perlu memohon kelulusan daripada persatuan sukan masing-masing malah mereka juga harus mendapatkan kebenaran daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

Katanya, langkah berkenaan bertepatan dengan usaha KBS dalam mempromosikan sukan selamat bukan sahaja fizikal malah mental menerusi Kod Sukan Selamat yang menekankan peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam menangani sebarang bentuk gangguan dan penderaan dalam sukan.

Muhammad Hattem, 22, meninggal dunia selepas bertarung nyawa lebih 12 jam susulan motosikal ditungganginya terbabas pada hari pertama perlumbaan di Speedway Circuit, Taman Tasik Abu Bakar, Pekan, Pahang, pada 12.30 tengah malam, Ahad lepas (3 Sept).

Mangsa yang mewakili ESR Motor menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan menghembuskan nafas terakhir pada petang semalam.

-- BERNAMA