Pengurusan pasukan kebangsaan tidak terlibat proses dokumentasi - Rob Friend

Friend berkata pasukannya hanya terlibat selepas FIFA secara rasmi meluluskan kelayakan pemain untuk mewakili Malaysia. - Gambar fail/BERNAMA
PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya Rob Friend hari ini menjelaskan bahawa pengurusan pasukan kebangsaan tidak terlibat dalam dokumentasi atau proses pendaftaran tujuh pemain warisan yang kini dalam siasatan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Ringkasan AI
- CEO Harimau Malaya Rob Friend menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam dokumentasi pendaftaran tujuh pemain warisan yang kini disiasat FIFA dan hanya terlibat selepas kelulusan rasmi FIFA.
- Beliau berkata fokus kini adalah mempertahankan integriti pasukan kebangsaan dan melantik pakar undang-undang antarabangsa bagi membantu FAM dalam prosiding tatatertib FIFA.
- FAM dan tujuh pemain terbabit sebelum ini didenda serta digantung FIFA atas dakwaan pemalsuan dokumen, namun FAM menyifatkannya sebagai kesilapan teknikal dan dalam proses membuat rayuan.
"...sebaik sahaja pendaftaran dokumentasi selesai, FIFA akan mengeluarkan dokumen yang meluluskan pemain untuk bermain dengan pasukan kebangsaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata keutamaannya kini adalah untuk melindungi integriti pasukan kebangsaan dan hal itu mendorongnya untuk melibatkan pakar undang-undang antarabangsa terkemuka termasuk Serge Vittoz bagi membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempertahankan kes itu selepas FIFA memulakan prosiding tatatertib terhadap badan tersebut dan para pemain berkenaan pada 22 Ogos.
"Mereka adalah pemain yang telah berjuang untuk negara ini. Mereka mewakili negara ini. Mereka rakyat Malaysia. Tanggungjawab saya adalah untuk melindungi pemain ini, melindungi integriti pasukan kebangsaan," katanya.
Terdahulu, Timbalan Presiden FAM Datuk S. Sivasundaram mengumumkan Vittoz sebagai peguam badan itu, yang juga merupakan peguam sukan antarabangsa daripada firma guaman berpangkalan di Geneva dan London, Charles Russell Speechlys.
Friend berkata beliau juga telah pergi ke pejabat undang-undang FIFA di Miami, Amerika Syarikat untuk lebih memahami apa sebenarnya berlaku dalam isu tujuh pemain warisan berkenaan.
Friend, yang dilantik lewat tahun lepas, merupakan pemimpin utama dalam struktur organisasi baharu bagi revolusi skuad Harimau Malaya.
Bulan lepas, FAM dan tujuh pemain naturalisasi - Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel - dihukum oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Dalam kenyataan sebelum ini, FIFA memaklumkan FAM telah mengemukakan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain-pemain terbabit untuk beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.
Susulan itu, FAM dikenakan denda CHF 350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF 2,000 (sekitar RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh notis keputusan dikeluarkan.
Dalam penjelasan sebelum ini, FAM menyatakan berlaku kesilapan teknikal dalam proses penghantaran dokumen melibatkan tujuh pemain berkenaan yang dilakukan oleh seorang pegawai pentadbiran.
FAM turut tidak menolak kemungkinan membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sekiranya rayuan di peringkat FIFA tidak membuahkan hasil positif.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami