KUALA LUMPUR: Impian Malaysia untuk memperbaiki pencapaian terbaik tempat keempat pada Piala Dunia Remaja sebelum ini tidak kesampaian apabila skuad hoki negara tewas 0-4 kepada Perancis pada perlawanan suku akhir edisi 2021 di Stadium Kalinga di Bhubaneswar, India, malam ini.

Kapten Perancis Timothee Clement menjadi pemusnah bagi anak buah Wallace Tan apabila meledakan hatrik menerusi pukulan sudut penalti masing-masing pada minit ke-14, 24 dan 60 untuk menbawa pasukan ke separuh akhir buat kali kedua selepas muncul naib juara pada edisi 2013.

Skuad bimbingan Aymeric Bergamo itu menjaringkan satu lagi gol menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Mathis Clement pada minit ke-31.

Perancis akan berdepan dengan Argentina pada peringkat separuh akhir manakala Malaysia akan menentang Belanda bagi menentukan kedudukan kelima hingga kelapan, Jumaat ini.

Argentina, juara edisi 2005, melangkah ke separuh akhir dengan mengalahkan Belanda 2-1 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

"Ini merupakan salah satu proses pembelajaran kepada kita, selepas membuat persiapan dalam masa yang singkat berikutan pandemik COVID-19," kata ketua pasukan Akhimullah Anuar Esook selepas perlawanan itu.

Malaysia memulakan kempen dalam Kumpulan A dengan menewaskan Chile 2-1 pada 24 Nov lalu sebelum terikat 1-1 dengan Belgium (26 (Nov) dan mengalahkan Afrika Selatan 4-3 pada 27 Nov.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam Piala Dunia Remaja ialah dengan menduduki tempat keempat sebanyak tiga kali iaitu pada edisi sulung pada 1979, 1982 dan kali terakhir pada 2013.

-- BERNAMA