Pencapaian dilakar skuad badminton lelaki dan wanita negara pada Kejohanan Berpasukan Asia 2020 adalah kesan daripada 'pengalaman perit', kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Beliau menjelaskan BAM terpaksa menempuh dua tahun kebelakangan ini dengan kritikan pelbagai pihak setelah mengetengahkan pemain muda di pentas tertinggi.

Katanya, pertaruhan yang dibuat itu telah mencetuskan kebangkitan sukan badminton negara menerusi kejayaan di Sukan SEA dengan meraih tiga pingat emas, keputusan terbaik negara dalam tempoh 44 tahun.

Menurutnya, peluang menimba pengalaman diberikan kepada pemain seperti Lee Zii Jia dan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut membuahkan hasil sehingga membantu pasukan lelaki negara muncul naib juara Kejohanan Berpasukan Asia 2020 yang berakhir Ahad lepas.

"Ini merupakan pengalaman yang perit apabila kita letakkan pemain muda di pentas tertinggi, namun ia perkara yang harus dilakukan walaupun dikritik kerana kegagalan mendatangkan keputusan.

"Kini, mereka berjaya di Sukan SEA dengan meraih tiga pingat emas...sekarang pemain-pemain muda ini menjadi naib juara (Kejohanan Berpasukan Asia) di Manila. Kita perlu mempercayai prosesnya," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Wisma MOM di sini, pada Selasa.

Pada kejohanan berpasukan itu, skuad lelaki negara muncul naib juara setelah tewas 1-3 kepada Indonesia, sementara pasukan wanita mencipta kejutan mara sehingga ke separuh akhir sebelum tewas 0-3 kepada Jepun.

Keputusan itu sekali gus membolehkan Malaysia layak secara merit ke Piala Thomas dan Piala Uber 2020 yang dijadual berlangsung di Aarhus, Denmark Mei nanti.

Justeru, Mohamad Norza menegaskan menjelang kejohanan berprestij Piala Thomas dan Piala Uber, BAM akan melihat kepada segenap aspek termasuk kemungkinan untuk melakukan penyusunan semula barisan kejurulatihan.

Katanya, pasukan wanita negara yang sebelum ini dianggap sebagai pasukan belasahan mula menjadi sebutan atas perkembangan prestasi, sementara pasukan lelaki yang memiliki semangat berlawan luar biasa mampu mengikut jejak langkah pemain legenda pada zaman kegemilangan badminton tanah air.

"Ini merupakan pasukan negara masa hadapan. Sebelum ini pasukan wanita kita dianggap belasahan tetapi mereka membuktikan bahawa mereka juga layak untuk dihormati dan pasukan lelaki telah tunjuk semangat berlawan yang sebelum ini telah hilang dalam diri sebahagian pemain seperti diperkatakan bekas-bekas pemain.

"Namun kita tidak boleh berehat. Pemain perlu sentiasa meningkatkan kualiti dan mutu prestasi, BAM akan sentiasa menyediakan bantuan diperlukan," katanya.

-- BERNAMA