HAJAT beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menempah tiket separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF tidak kesampaian apabila mengalami kekalahan kedua dalam aksi terakhir Kumpulan A sebentar tadi.

Turun dengan misi wajib menang dalam aksi di Gimnasium Olimpik Hangzhou, China itu, Tang Jie-Ee Wei tewas 21-18, 18-21, 14-21 kepada beregu keenam dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Kekalahan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei menduduki tangga tercorot Kumpulan A di belakang tiga lagi beregu - Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China, Yuta Watanabe-Arisa Higashino (Jepun) dan Dechapol-Sapsiree.

Atas kertas, Tang Jie-Ee Wei tampil selaku gandingan 'bukan pilihan' di bumi Hangzhou bersandarkan kedudukan ranking tiga lagi lawan mereka itu.

Yan Zhe-Dong Ping kini menghuni ranking pertama dunia, diikuti Watanabe-Higashino yang menduduki tangga kedua, manakala Dechapol-Sapsiree di tangga keenam.

Sekalipun tersingkir awal, pujian harus diberikan buat Tang Jie-Ee Wei yang berjaya mengejutkan Watanabe-Higashino dengan kemenangan 12-21, 21-16, 21-16 dalam aksi kedua peringkat kumpulan pada Khamis.

Sebelum itu, Tang Jie-Ee Wei yang menduduki ranking kelapan dunia terpaksa akur dengan kehebatan Yan Zhe-Dong Ping apabila tewas mudah 10-21, 13-21 dalam aksi pembukaan Kumpulan A pada Rabu.

Untuk rekod, ini merupakan penampilan pertama Tang Jie-Ee Wei pada kejohanan akhir musim itu yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$2.5 juta (RM11.7 juta).

Terdahulu, beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut tersingkir awal selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut dalam aksi Kumpulan A.

Ia adalah kali keempat Aaron-Wooi Yik gagal melepasi peringkat kumpulan Jelajah Dunia Akhir BWF selepas turut mengalami nasib sama dalam tiga penampilan terakhir - 2019, 2020 dan 2022. - Stadium Astro