Permulaan cemerlang kontinjen Malaysia pada hari pertama APG 2025

Kontinjen negara menyasarkan untuk membawa pulang 181 pingat termasuk 55 pingat emas pada Sukan Para ASEAN Thailand 2025.
NAKHON RATCHASIMA: Kontinjen Malaysia mempamerkan aksi cemerlang pada hari pertama Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025 selepas meraih 10 emas, 12 perak dan 18 gangsa.
Ringkasan AI
- Kontinjen Malaysia meraih kejayaan pada hari pertama Sukan Para ASEAN 2025 dengan memenangi 10 emas, 12 perak, dan 18 gangsa.
- Kejayaan atlet-atlet seperti Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin, Krisana Sriujun, dan K. Perameswary Kashinathan menyumbang kepada pencapaian emas negara.
- Meskipun renang gagal menyumbang emas, kontinjen Malaysia berjaya meraih lima perak dan tujuh gangsa dalam acara tersebut.
Emas negara turut disumbang oleh K. Perameswary Kashinathan dalam acara menembak 10 meter wanita (SH1), Colorine Sijang menerusi lempar cakera wanita (F40/41) serta Muhammad Nazmi Nasri yang memenangi acara lompat jauh lelaki (T37-38).
Selain itu, Ivan Jovic Suan menghadiahkan emas dalam acara lari 200 meter (m) lelaki T44, diikuti Ahmad Zuaiman Shamsudin yang menjuarai acara rejam lembing lelaki (F12-F13) dan Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah (100m lelaki T12).
Sukan olahraga melengkapkan kutipan emas negara yang ke-10 menerusi Heronlee Wong dalam acara lempar cakera lelaki F37.
Sementara itu, acara renang yang membuka tirai hari ini gagal membutirkan emas buat kontinjen negara walaupun sukan itu diharapkan mampu menjadi lubuk emas Malaysia.
Bagaimanapun, kem renang para negara berjaya menyumbang lima perak dan tujuh pingat gangsa dalam aksi yang berlangsung di Pusat Akuatik, Stadium Ulang Tahun Keputeraan Raja Thailand ke-80 di sini.
Perak disumbangkan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli menerusi acara 100m kuak dada lelaki SB4, Mohd Adib Iqbal Abdullah (200m kuak dada lelaki SB14), Wahyu Eqwal Nazrey (50m kuak lentang lelaki S5), Ong Jia Xuan (100m kuak dada wanita SB9) serta Lim Carmen dalam acara 100m gaya bebas wanita S8.
Lim dan Mohd Adib Iqbal turut meraih gangsa, masing-masing bagi acara 100m kuak dada wanita SB7-SB8 dan 100m kuak dada lelaki SB14.
Lima lagi gangsa negara disumbangkan Shahafiq Abdullah (100m kuak dada lelaki SB7), Saiful Rizal Abdullah (200m kuak dada lelaki SB14), pasukan Malaysia A dalam acara berganti-ganti campuran 4x50m gaya bebas 20 mata (S1-S10), Aleeya Fariesya Faizul Rizal (200m kuak dada wanita SB14) serta Brenda Anellia Larry menerusi acara 50m kuak lentang wanita S4-S5.
Kontinjen negara menyasarkan untuk membawa pulang 181 pingat termasuk 55 pingat emas pada temasya kali ini.
Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke APG 2025 Mohd Zarrawi Ravi Abdullah sebelum ini meluahkan keyakinan bahawa sukan renang dan olahraga kekal menjadi lubuk emas manakala badminton serta berbasikal diharapkan menjadi punca tambahan yang mampu menaikkan semangat dan reputasi negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


