PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah mengarahkan Pesuruhjaya Sukan (PJS) supaya memastikan semua persatuan sukan yang didaftar di bawahnya, bergerak aktif.

Katanya badan sukan perlu menjalankan aktiviti melibatkan sukan yang diwakili, selain mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) dan menghantar laporan aktiviti berkenaan kepada PJS.

Beliau turut berkata bahawa tidak perlu menubuhkan beribu-ribu persatuan tetapi tahap sesuatu sukan itu masih berada di takuk lama tanpa sebarang peningkatan.

"Kalau buat persatuan tetapi AGM pun tak dapat buat, aktiviti sekadar buat jamuan Aidilfitri, tak payah tubuh persatuan sukan. Patut (tubuh) persatuan penduduk dan sebagainya. Kalau tubuh persatuan sukan semata-mata untuk memegang jawatan, saya ingat tak perlulah bazir masa.

Jadi benda ini kita patut perbaiki, dan kita akan cari jalan bagaimana nak letakkan syarat kepada persatuan-persatuan sukan. Kalau nak tubuh persatuan bola sepak, aktiviti bola sepak mesti dijalankan," katanya selepas Majlis Detik 100 Hari Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Menara KBS di sini hari ini.

PJS sebelum ini memaklumkan lebih 1,860 persatuan sukan di pelbagai peringkat tidak menghantar laporan aktiviti kepada pesuruhjaya itu sejak tiga tahun lepas.

-- BERNAMA