KECINTAAN kepada bola sepak boleh hadir dengan pelbagai cara. Kecintaan kepada pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya juga sering kali memeriahkan arena sukan negara.

Dua individu ini, Musa Norisi, 56, dan Iman Salus, 47, mungkin boleh menjadi antara contoh nyata betapa bola sepak menghadirkan 'cinta luar biasa'.

Mana tidaknya, mereka hari ini sanggup hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023.

Mereka bukan dari Semenanjung, sebaliknya dari Kota Samarahan, Sarawak.

"Kami sampai semalam, hari ini terus ke stadium. Esok balik ke Sarawak.

"Memang kami banyak kali juga buat macam ini. Semuanya demi Malaysia," kata Musa.

Iman pula berkata, setiap kali perlawanan besar melibatkan Harimau Malaya, mereka pasti hadir.

"Ada saja 'game' besar, kami mesti datang. Tengok bola, esoknya balik," katanya.

Malaysia bakal menentang Tajikistan malam ini bagi penentuan juara saingan Pestabola Merdeka 2023.

Kali terakhir kejohanan ini berlangsung adalah pada 2013 dengan Malaysia, dibimbing Datuk Ong Kim Swee menjuarai kejohanan tersebut.

Malaysia menewaskan Myanmar pada perlawanan akhir itu, hasil jaringan Rozaimi Abd Rahman dan Junior Eldstal.

Eldstal masih lagi berada dalam skuad kebangsan yang terkini dan pastinya rakyat Malaysia mengharapkan magis pada 2013 berulang.