IPOH: Pesuruhjaya Sukan (PJS) perlu memberi maklum balas segera berhubung notis aduan rasmi yang dihantar ahli-ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) pada 9 Dis lepas bagi menyelesaikan kemelut melanda badan induk bola sepak negeri ini.

Presiden PAFA Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata ini kerana ia dapat meleraikan segala kekusutan yang wujud sekali gus memberikan pengesahan mengenai pihak yang mempunyai hak untuk menerajui PAFA.

"Desakan bagi mendapatkan maklum balas segera daripada pihak PJS ini disebabkan oleh rasa kasih dan sayang kami yang amat menebal kepada PAFA dan sukan bola sepak Perak khasnya. Kami tidak mahu isu-isu yang berlaku ketika ini akan menjadi punca kehancuran bola sepak Perak.

"Kami juga khuatir sekiranya kelewatan maklum balas ini adalah disebabkan oleh wujudnya tekanan daripada pihak-pihak tertentu, namun kami yakin pihak PJS adalah sebuah badan kerajaan yang mempunyai tahap kredibiliti serta integriti yang amat tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 24 Dis lepas, Pesuruhjaya Sukan Ibrahim Mohd Yusof dalam satu laporan media memaklumkan pihaknya tidak membuat sebarang kenyataan dalam menentusah atau mengiktiraf mana-mana pihak dalam menerajui PAFA.

Malah, PJS dalam kenyataan itu memaklumkan mereka masih belum menerima sebarang laporan mengenai Kongres Luar Biasa (EGM) 14 ahli gabungan PAFA pada 19 Dis lepas.

Mengulas lanjut, Mohd Azhar berkata pihaknya juga menghantar permohonan Perintah Larangan terhadap PAFA kepada PJS pada 27 Dis lalu bagi memastikan tiada mana-mana pihak diberi kebenaran membuat sebarang keputusan atau tindakan berkenaan PAFA sehinggalah proses siasatan selesai dan keputusan PJS mengenai pihak yang sah untuk menerajui PAFA diterima.

Selain itu, katanya tindakan 14 daripada 18 Ahli Gabungan PAFA mengadakan Kongres Luar Biasa PAFA bertujuan mengelak risiko salah guna kuasa dan sebagainya termasuk mengelak campur tangan pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata pihaknya juga tidak mahu apa yang berlaku ketika ini akan meletakkan PAFA dalam keadaan lebih berisiko sehingga mengakibatkan badan induk itu dikenakan tindakan lebih drastik seperti penggantungan atau pembatalan pertubuhan.

"Kami hanya ingin membawa PAFA kembali semula ke haluan yang betul dan bersama-sama ahli-ahli gabungan untuk melaksanakan program dan aktiviti bola sepak sepertimana digariskan oleh Perlembagaan PAFA," katanya.

-- BERNAMA