KUALA LUMPUR: Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) akan menyertai Liga Hoki Malaysia pada musim ini, menerusi Kuala Lumpur City (KL City) yang ditubuhkan persatuan itu dengan kerjasama beberapa agensi seperti Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP).

Presiden PHKL I. Viknesawaran berkata KL City yang juga ditubuhkan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan disokong kemuniti setempat itu, akan menghantar dua pasukan iaitu lelaki dan wanita pada kejohanan liga berkenaan.

"Pasukan ini diwakili anak jati Kuala Lumpur, berumur 21 tahun dan ke bawah. Ini merupakan projek bersama Majlis Sukan Wilayah Persekutuan bersempena temasya sukan Malaysia (SUKMA) (tahun ini)," katanya pada sidang media di Stadium Hoki Kuala Lumpur pada Isnin.

Vikneswaran berkata dalam jangka masa panjang, pihaknya ingin menjadikan KL City sebagai sebuah kelab yang mempunyai peminat tersendiri, khususnya dalam kalangan peminat sukan hoki di sini, selain mengembangkan lagi jenama KL City.

Sementara itu, beliau berkata PHKL juga merancang menganjurkan Kejohanan Liga Hoki Dalam Dewan tahun ini, bagi memberi nafas baharu kepada kejohanan hoki seperti itu yang kebelakangan agak kurang diberi perhatian.

"Pengajuran kejohanan hoki dalam dewan berkenaan juga bertujuan memberi peluang kepada pemain hoki padang meningkatkan kemahiran serta prestasi mereka dalam bidang sukan berkenaan.

"Kejohanan itu juga penting diberi nafas baharu, memandangkan ia turut dipertandingkan di peringkat Sukan SEA selain dianjurkan menerusi Piala Sultan Nazrin Shah dan pelbagai kejohanan lain", katanya.

Sementara itu, Vikneswaran berkata saingan Liga Hoki Kuala Lumpur musim 2023 yang terhenti sementara disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan, akan disambung semula pada 6 Jan ini bagi menamatkan baki perlawanan musim lepas sebelum penganjuran untuk musim 2024 bermula.

-- BERNAMA