KUALA LUMPUR: Kelab bolasepak Hai Phong telah mencalar rekod bersih Sabah FC di saingan Piala AFC 2023/24, apabila wakil Vietnam itu meraih kemenangan tipis 3-2 pada aksi Kumpulan H, di Stadium Lach Tray, Hanoi, pada Rabu.

Pasukan tuan rumah berjaya menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mendahului 2-0 pada babak pertama, manakala hasrat Sabah untuk bangkit pada separuh masa kedua untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian.

Skuad tuan rumah membuka tirai jaringan seawal minit ke-14 menerusi jarak jauh Nguyen Huu Son, sebelum rembatan kaki kiri Dam Tien Dung menggandakan kelebihan, empat minit kemudian.

Sabah berjaya meledak gol pertama apabila penyerang import dari Brazil Ramon Machado, menanduk masuk hantaran silang Darren Lok pada minit ke-71, namun Hai Phong segera melebarkan jurang menerusi Dam, selang seminit kemudian.

Skuad Sang Badak bagaimanapun berjaya mengurangkan defisit menerusi rembatan Gary Steven Robbat dari luar kotak penalti, pada minit ke-80.

Keputusan pada Rabu menyaksikan Sabah kekal di kedudukan teratas Kumpulan H dengan dibezakan kelebihan jaringan, walaupun berkongsi enam mata dengan Hai Phong, menjelang kunjungan kelab berkenaan ke Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 9 Nov.

Pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee sebelum ini, berjaya melakar kemenangan 3-1 ke atas Hougang United dari Singapura dan membelasah kelab Indonesia PSM Makassar 5-0.

Hanya juara kumpulan dan satu pasukan di kedudukan kedua daripada tiga kumpulan bagi zon Asia Tenggara, akan mara ke pusingan separuh akhir peringkat zon.

-- BERNAMA