KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Thailand menepati ramalan mara ke peringkat separuh akhir dengan bergaya selepas menewaskan Kemboja 3-1 pada aksi terakhir Kumpulan A saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, malam ini.

Kejayaan di Stadium Thammasat di Pathum Thani itu membolehkan skuad Gajah Perang bimbingan Alexandre Polking muncul juara kumpulan dengan kelebihan jumlah jaringan selepas berkongsi 10 mata dengan Indonesia.

Pada aksi malam ini, usaha Thailand memburu jaringan menemui jalan buntu sehingga penalti yang disempurnakan penyerang prolifik, Teerasil Dangda, pada masa kecederaan babak pertama perlawanan selepas Yeu Muslim mengasari Sasalak Haiprakhon.

Bersambung selepas rehat, pemain gantian, Sumanya Purisai meletakkan Thailand selesa mendahului 2-0 pada minit ke-50 setelah merembat umpanan Sarach Yooyen sebelum Kemboja bangkit merapatkan kedudukan hasil penyudah Sieng Chanthea pada minit ke-68.

Dangda melengkapkan kemenangan 3-1 pasukan menerusi jaringan kedua peribadinya pada penghujung perlawanan sekali gus mengumpul keseluruhan lima gol untuk mendahului senarai penjaring terbanyak kempen kejohanan.

Sementara itu, Indonesia turut melakar kemenangan 2-1 ke atas Filipina sekali gus mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan A.

Pada pertembungan di Stadium Rizal Memorial di Manila itu, skuad Garuda yang juga finalis edisi lepas menikmati aksi separuh masa pertama yang baik selepas berjaya meledak dua jaringan penting.

Dua gol Indonesia masing-masing dijaringkan penyerang Dendy Sulistyawan pada minit ke-21 dan pemain tengah Marselino Ferdinan dua minit sebelum rehat.

Pasukan tuan rumah meraih gol sagu hati selepas pemain gantian Sebastian Rasmussen menanduk masuk hantaran cantik Stephan Schrock untuk menewaskan penjaga gol Nadeo Argawinata pada minit ke-83.

Pada aksi separuh akhir yang akan berlangsung secara timbal balik bermula hujung minggu ini, Thailand bakal bertemu naib juara Kumpulan B sementara juara Kumpulan B akan berkunjung ke Indonesia.

Saingan Kumpulan B masih terbuka dengan Vietnam mengumpul tujuh mata, Singapura (tujuh mata) dan Malaysia dengan enam mata masing-masing berpeluang layak ke peringkat separuh akhir.

-- BERNAMA