KAPTEN Palestin, Musab Battat, percaya pasukannya memiliki apa yang diperlukan untuk bersaing dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan 'wajib menang' dalam saingan Kumpulan C Piala Asia Qatar awal pagi esok.

Dalam penampilan ketiga berturut-turut saingan Piala Asia, Palestin tewas 4-1 di tangan Iran bagi aksi pembukaan, namun Battat menegaskan cabaran di Stadium Al Janoub akan menjadi lebih realistik.

“Kami tidak gentar kepada Iran. Ya, mereka adalah pasukan yang kuat serta berkualiti, dan kami pula tidak gentar berdepan lawan,” kata Battat.

“Kami kini akan fokus kepada UAE, di mana pasukan yang kami hormati, namun dalam bola sepak, ia adalah lumrah setiap pasukan berada di tahap yang berbeza, namun UAE adalah pasukan yang berada hampir di tahap yang sama dengan kami berbanding pasukan Iran."

“Kami perlu melupakan perlawanan terdahulu dan kini fokus sepenuhnya untuk perlawanan kedua berdepan UAE di mana ia cukup penting buat kami. Wajib menang dan kami akan memberikan yang terbaik untuk mara ke pusingan berikutnya.

“Pemain berpengalaman dan mempunyai mentaliti yang kuat; kita mempunyai ramai pemain yang bermain di luar negara. Kami tahu kesukaran perlawanan Iran, tetapi kami bersatu dan itu telah membantu kami untuk mengatasi keputusan dan meneruskan. Kami semua mempunyai objektif yang sama dan kami fokus padanya sejurus selepas wisel penamat perlawanan pertama.”

*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro