Berdasarkan rekod, kedua-dua pasukan, Argentina dan Iran pernah bertemu pada perlawanan persahabatan tahun 1977. Bagaimanapun pertemuan tersebut berakhir dengan keputusan seri satu.

Perlawanan Kumpulan F Piala Dunia 2014 di antara kedua pasukan itu yang dijadualkan bermula pada jam 12 tengah malam, bakal menyaksikan Argentina lebih menumpu kepada pendekatan taktikal dan serangan.

Peluang untuk pasukan itu mara ke peringkat seterusnya adalah tinggi meskipun Iran mempunyai benteng pertahanan yang agak kuat.

Gandingan antara Lionel Messi dan Gonzalo Higuain bakal memberi impak kepada keputusan perlawanan malam ini yang kemungkinan besar akan memihak kepada kemenangan Argentina.

Bagi perlawanan Kumpulan G di antara Jerman dan Ghana pula, tentunya pasukan pilihan iaitu Jerman tidak akan memberi belas kasihan kepada lawannya.

Pasukan Die Mannschaft ini dikatakan serba lengkap dengan sistem serangan dan benteng pertahanan yang mantap. Ini dibuktikan dengan perlawanan pembukaan mereka di mana, Jerman membelasah Portugal 4-0.

Dalam perlawanan yang dijadualkan jam 3 pagi nanti, kemungkinan besar pasukan tersebut akan mengulangi prestasinya seperti mana yang dilakukan terhadap Portugal.

Bagi Ghana pula, meskipun Jerman dianggap sebagai ‘favourite’, tidak terkejut jika pasukan dari Afrika itu akan memberi tentangan yang hebat.

Kapten pasukannya, Asamoah Gyan baru-baru ini telah menyeru rakan sepasukannya memperbaiki tumpuan serta prestasi permainan, lebih-lebih lagi setelah tewas kepada Amerika Syarikat, 1-2.

Sementara itu satu lagi perlawanan Kumpulan F, iaitu di antara Nigeria dan Bosnia, pasukan Bosnia akui mereka lebih yakin untuk berhadapan dengan Nigeria, 6 pagi nanti.

Jurulatihnya, Safet Susic menyatakan keyakinan bahawa pasukannya akan memberikan aksi yang lebih baik pada perlawanan dengan negara dari Afrika itu nanti.