PERTAHANAN Melaka United, Ahmad Haziq Puad, memohon kelonggaran daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) agar pemain skuad Hang Tuah diberi pelepasan khas untuk beraksi dalam Piala Malaysia bersama kelab lain.

Ini bagi menyelamatkan nasib dan periuk nasi mereka memandangkan kelab dari selatan itu disahkan tidak dibenarkan beraksi dalam kejohanan tertua di rantau Asia berkenaan akibat isu tunggakan gaji.

Untuk rekod, Liga Malaysia (Liga-M) pernah membenarkan pemain daripada pasukan yang tidak layak dalam Piala Malaysia beraksi bersama pasukan lain menerusi pinjaman.

Ia berlaku pada musim 2011 dan 2012 yang menyaksikan pemain seperti Azamuddin Akil, Afiq Azmi dan Rozami Abdul Rahman menyertai pasukan yang layak beraksi dalam kejohanan berprestij berkenaan ketika itu.

Terdahulu, Melaka United menerima notis peringatan pada 6 September lalu bagi menyelesaikan segala tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama pegawai dan pemain yang terlibat hingga 20 September 2022.

"Semua pemain mahu bermain dalam Piala Malaysia untuk membuktikan sesuatu kerana tidak dapat beraksi dalam liga.

"Sekurang-kurangnya ia menjadi kesempatan kepada pemain untuk mempamerkan nilai mereka.

"Sudah pasti saya sedikit kecewa dan geram jugalah.

"Kami bersedia untuk beraksi dalam Piala Malaysia walaupun bergelut dengan bermacam-macam masalah.

"Saya harap MFL untuk memberi keistimewaan dan sedikit kelonggaran kepada pemain Melaka untuk dipinjamkan ke kelab lain.

"Untuk baki tiga perlawanan ini, kami mahu berikan persembahan yang sangat-sangat baik ibarat perlawanan akhir untuk diri sendiri,"' katanya di Nadi Arena semalam.

Bagaimanapun, setakat Rabu, kelab berkenaan hanya dapat mengemukakan bukti pembayaran hingga Jun 2022.

Hukuman lebih berat menanti mereka iaitu digantung lesen andai masih gagal selesaikan perkara itu pada 30 September ini.