SUKAN
Piala Raja Thai: Regu berpasukan raih kemenangan kedua saingan Kumpulan B

Skuad kuadran negara melakar rekod bersih apabila menewaskan semua pasukan dalam Kumpulan A termasuk menundukkan musuh tradisi, Thailand. - Foto Facebook PSM
KUALA LUMPUR: Skuad regu berpasukan lelaki sepak takraw negara meneruskan rentak cemerlang pada kempen Kejohanan Piala Raja Thai ke-35 selepas melakar kemenangan kedua saingan Kumpulan B dengan menewaskan Myanmar 3-0 di Songkhla, malam tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Dewan Hatyai, Pusat Beli-Belah Central Hatyai itu, regu pertama negara dibarisi pemain berpengalaman Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohammad Azlan Alias dan Farhan Adam tidak mengecewakan apabila mudah menundukkan regu pertama Myanmar 2-0 (15-10, 15-9).
Momentum cemerlang itu diteruskan regu kedua negara yang menampilkan Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Muhammad Shahalril Aiman Halim dan Aidil Aiman Azwawi bagi memastikan kemenangan kedua berpihak kepada Malaysia menerusi keputusan 2-1 (15-12, 6-15, 15-13).
Regu ketiga negara diketuai Muhammad Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Norfaizzul Abd Razak kemudian memutlakkan kemenangan negara menerusi keputusan 2-0 (15-9, 15-10).Terdahulu, regu berpasukan negara membuka kempen kejohanan dengan langkah kanan selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Korea Selatan.
Malaysia akan meneruskan aksi ketiga Kumpulan B menentang Laos.
Dalam pada itu bagi acara kuadran lelaki, Malaysia terdahulu mengungguli saingan Kumpulan A apabila menewaskan Singapura 2-0 (15-6, 15-12) sekali gus menempah slot ke separuh akhir dan bakal menentang naib juara Kumpulan B, India.
Skuad kuadran negara melakar rekod bersih apabila menewaskan semua pasukan dalam Kumpulan A termasuk menundukkan musuh tradisi, Thailand.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami