BEREGU negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas kepada pasangan Indonesia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dalam perlawanan kedua aksi suku akhir Piala Thomas di Arena Ceres, di Aarhus, Denmark, sebentar tadi.

Pemain negara itu tewas 17-21 di set pertama, sebelum bangkit memberi cabaran di set kedua dengan kedudukan 21-16.  Mereka bagaimanapun kecundang 15-21 di set penentuan.

Terdahulu, perseorangan negara, Lee Zii Jia tewas kepada pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting.

Zii Jia tewas 21-15 dalam set pertama dan 21-17 pada set kedua.

Kedudukan ketika ini adalah Malaysia 0 dan Indonesia 2.

Saingan seterusnya adalah membabitkan Ng Tze Yong menentang Jonatan Christie; Goh Sze Fei-Nur Izzuddin menentang Fajar Alfian-Muhammad Rian Addianto dan Leong Jun Hao menentang Shesar Hiren Rhustavito.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia berpeluang menebus kekalahan kepada Indonesia selepas kedua-dua pasukan itu diundi sekali lagi bertemu pada saingan suku akhir Piala Thomas hari ini.

Malaysia, yang muncul naib juara Kumpulan D selepas tewas 4-1 kepada Jepun di Arena Ceres di sini pada Khamis, tewas 3-1 kepada Indonesia pada peringkat sama pada edisi 2018 di Bangkok.

Indonesia pula yang muncul juara Kumpulan A, telah memenangi piala berprestij itu sebanyak 13 kali, manakala Malaysia lima kali dengan kali terkahir pada tahun 1992 di Kuala Lumpur.