PERTAHANAN Sepanyol, Gerard Pique mendedahkan dia akan bersara dari pentas antarabangsa selepas Piala Dunia 2018 susulan tidak tahan dengan kritikan.

Bek tengah Barcelona itu menjadi ikon kontroversi di Sepanyol ekoran tidak berselindung dengan niatnya yang mahu Catalan mendapat kemerdekaan daripada Sepanyol di samping sering menghangatkan permusuhan di antara Barcelona dan Real Madrid.

Dia turut dikecam ketika membantu Sepanyol melakar kemenangan 2-0 ke atas Albania dengan ada pihak yang mendakwa pemain itu sengaja memotong lengan jersinya untuk membuang bahagian yang menampakkan reka bentuk bendera Sepanyol.

Bagaimanapun, pemain berusia 29 tahun itu membuktikan di akhir perlawanan bahawa bahagian dipotongnya itu mempunyai reka bentuk yang berbeza dan dia berkata tuduhan dilontarkan terhadapnya itu sebagai melampaui batas.

"Saya sudah cuba segala-galanya, saya tidak tahan lagi," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh persatuan bola sepak negara itu.

"Tuduhan itu membuatkan saya tidak lagi berasa teruja dan gembira untuk beraksi bersama Sepanyol. Walaupun usia saya baru mencecah 31 tahun di Russia nanti, saya akan bersara selepas itu."