PETALING JAYA: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyenaraikan pelumba berbasikal trek negara Muhammad Fadhil Mohd Zonis menjadi sebahagian daripada atlet program Road to Gold (RTG).

Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata kelibat Muhammad Fadhil, 25, dalam program tersebut disifatkan sebagai satu keperluan selaku pelumba sandaran bagi acara pecut berpasukan, di samping Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Azizulhasni dan Shah Firdaus masing-masing merupakan antara 15 atlet disenaraikan KBS, semalam, dalam program RTG bagi misi memburu emas sulung negara dalam Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

"Pemlihan Datuk Azizulhasni dan Shah Firdaus dalam program RTG adalah tepat kerana mereka merupakan prospek pingat sukan berbasikal trek. Kami juga faham senarai itu bukanlah kekal dan boleh berubah.

"Bagaimanapun, PKBM membuat permintaan untuk memasukkan Fadhil Zonis sebab dia pelumba sandaran sekiranya pelumba lain mengalami kecederaan. Amat penting untuk dia berada dalam program tersebut," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama media, di sini semalam.

Menurut Amarjit, biarpun proses kelayakan atlet ke Sukan Olimpik masih berjalan, tindakan perlu dibuat untuk menyenaraikan Fadhil dalam program RTG, seiring hasrat dinyatakan ketua jurulatih negara John Beasley sebelum ini.

"Sekiranya mereka boleh layak untuk acara pecut berpasukan di Olimpik, kita mempunyai tiga pelumba bagi acara itu. Proses kelayakan hanya akan selesai tahun hadapan tapi takkan mahu tunggu ia selesai baru kita mahu masukkan atlet ke dalam program RTG?

"Kita perlu jangkakan mereka layak dan masukkan dalam RTG serta beri segala bentuk sokongan tambahan diperlukan," katanya.

Amarjit dalam masa sama meminta supaya RTG yang merupakan program tambahan kepada Program Podium sedia ada, berterusan memberikan bantuan daripada segi penyelidikan dan pembangunan (RD) sukan itu.

"Saya rasa yang paling penting ialah kelengkapan digunakan, pakaian dan sebagainya yang mampu memberikan bantuan daripada segi kelajuan dan catatan masa pada perlumbaan.

"Bantuan itu sememangnya sudah ada namun kita akan bincangkan dengan jurulatih dan atlet apa lagi yang mereka mahukan serta ajukan kepada KBS," katanya.

-- BERNAMA