Perlawanan Liga Super antara Kedah dan Sabah di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 19 Sept ini ditunda dan ditukarkan ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini pada 21 Sept ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata pasukan Kedah telah memohon pertukaran venue dan tarikh, memandangkan Stadium Darul Aman terletak dalam daerah Kota Setar yang telah diisytiharkan sebagai kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata keputusan berkenaan diputuskan selaras dengan arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan PKPD di daerah berkenaan yang berkuat kuasa dari 11 hingga 25 Sept ini.

"Pindaan perlawanan tersebut juga dibuat setelah mengambil kira segala aspek seperti penyiar rasmi, komersial MFL, serta pihak media.

"Pindaan ini tidak melibatkan perlawanan-perlawanan lain seperti yang telah dijadualkan...jadual perlawanan CIMB Liga Super Malaysia 2020 juga telah dikemas kini," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan MFL, pada Selasa.

Dalam pada itu, Ab Ghani memuji maklum balas pasukan Sabah yang bersetuju dengan keputusan pindaan berkenaan demi kebaikan pihak yang terlibat.

Kedah menduduki tangga kedua dengan kutipan 13 mata, manakala Sabah berada pada kedudukan ke-11 daripada 12 pasukan setelah mengutip enam mata daripada tujuh perlawanan setakat ini.

-- BERNAMA