Setiawangsa Racing berharap Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) merupakan fasa akhir kepada halangan pelbagai aktiviti kumpulan itu sepanjang COVID-19 melanda negara awal tahun ini.

Pengurus pasukannya, Muzafar Mohamad menjelaskan, mereka berharap dapat segera kembali beraksi di litar selepas pasukan mereka terkesan akibat pandemik yang melanda dunia itu.

"Banyak perlumbaan peringkat dunia yang ditangguhkan akibat penularan COVID-19.

"Kami agak terkesan kerana sukan ini memerlukan belanja yang agak tinggi, kami berharap PKPP ini adalah yang terakhir sebelum kerajaan membenarkan perlumbaan ini semula di litar," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.


Selain Muzafar, pasukannya terdiri dari pemandu, Sheikh Mohd Salimee Mohd Fowzi serta
mekanik dan 'tuning', Khairul Asmadi Ahmad dan Izham Yazid Nordin.

Setiawangsa Racing pernah mengungguli kejuaraan Dragstrip Malaysia/Thailand sejak 2010 sehingga 2019.

Nama mereka juga bukan asing bagi penggemar sukan itu di benua Asia selain pernah mendapat tempat pertama kelajuan paling pantas dalam Kategori Body Mitsubishi (CSM) Asia pada 2019.

Dalam pada itu kata Muzafar, pasukannya sebelum ini sering menguji kehebatan jentera mereka di Thailand.

"Kami sentiasa mencari idea untuk melahirkan jentera-jentera berkuasa untuk dipertandingkan di litar-litar lumba drag baik di Malaysia atau di luar negara.

"Dengan keadaan trek lumba drag yang dikhaskan, kami dapat mengukur sejauh mana kekuatan jentera yang dibina bagi tujuan perlumbaan drag dengan lebih tepat.

"Setiap saat yang dicatit merupakan perkara yang bermakna. Dengan jentera yang sudah diubahsuai dan ditala hingga ke tahap yang maksimum, kami mengharapkan ada kejohanan yang akan dianjurkan selepas musim COVID-19 ini," ujarnya.

Pada masa ini ujarnya, Setiawangsa Racing mengambil pendekatan untuk mencari dana bagi memantapkan lagi jentera baru mereka iaitu Mitsubishi Evo3.

"Pihak kami juga membuat jualan cenderamata iaitu baju T, topi serta pelbagai lagi barangan yang di laman Facebook Setiawangsa Racing.

"Kami mendapat sambutan menggalakkan daripada pencinta sukan lumba ini. InshaAllah, kami akan meneruskan usaha untuk mendapat catatan rekod terbaharu dan seterusnya menjadi juara Asia sekali lagi," katanya.

Jelasnya, ia sekali gus membuktikan kemampuan negara dalam sukan ini tidak lagi boleh dipandang remeh.