SUKAN
'Pocket Rocketman' Azizulhasni dilantik duta jenama pertama Volkswagen Malaysia

Azizulhasni (kanan) bersama Pengarah Urusan Volkswagen Passenger Cars Malaysia, Renate Noessle (kiri) selepas sidang media pengumuman duta jenama pertama Volkswagen Malaysia hari ini. - Foto Bernama
PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang hari ini diumumkan sebagai duta jenama pertama Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM).
Ringkasan AI
- Datuk Azizulhasni Awang diumumkan sebagai duta jenama pertama Volkswagen Malaysia, disifatkan sebagai lambang prestasi, disiplin dan ketabahan sejajar falsafah syarikat.
- Kerjasama ini lebih daripada penajaan biasa, bertujuan memupuk hubungan erat dengan rakyat Malaysia yang menghargai integriti dan keyakinan jangka panjang.
- Azizul harap kerjasama ini beri inspirasi kepada golongan muda untuk berani mengejar impian dan menjadikan perjalanan hidup sebagai pengalaman bermakna.
"Kisah Azizul merupakan manifestasi kepada cita-cita, ketangkasan dan semangat juang, seiring dengan kenderaan kami yang mementingkan prestasi yang berkualiti dan tahan lama," katanya.
Noessler berkata keputusan melantik pemenang pingat Olimpik itu dibuat berdasarkan nilai bersama seperti disiplin, ketabahan dan etika kerja yang tinggi.
"Kerjasama ini bukan sekadar penajaan yang biasa, tetapi satu usaha untuk membina hubungan yang dekat dengan rakyat Malaysia yang menghargai integriti, keyakinan dan kebolehpercayaan jangka panjang," katanya.
Azizulhasni yang lebih dikenali sebagai "Pocket Rocketman" menyifatkan pelantikan itu sebagai satu penghormatan yang besar dan tanggungjawab yang diterimanya dengan rendah hati.
"Ini lebih daripada sekadar kerjasama antara seorang atlet dan sebuah jenama. Ia adalah pertembungan nilai-nilai bersama, prestasi, ketepatan dan potensi sebenar diri," katanya.
Mengulas lanjut, Azizul berkata beliau melihat kesamaan antara pendekatannya dalam dunia sukan dengan falsafah reka bentuk Volkswagen, sambil menyebut model Touareg sebagai contoh kenderaan yang "berkuasa namun elegan, berani tetapi pintar".
"Kejayaan tidak datang secara kebetulan. Ia dibina dengan disiplin, kecekalan dan semangat untuk melangkaui batas kebiasaan.
"Inilah nilai yang saya amalkan, dan saya melihatnya dengan jelas dalam jenama Volkswagen," katanya.
Azizulhasni turut berharap kerjasama ini akan menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda, untuk mengejar impian mereka dengan keyakinan dan tujuan yang jelas.
"Ini bukan sekadar tentang saya dan kereta. Ia tentang menggalakkan rakyat Malaysia untuk berani mengejar impian yang lebih besar dan melihat perjalanan hidup mereka sebagai satu pengalaman bermakna," katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Volkswagen memaklumkan bahawa Azizulhasni akan tampil dalam pelbagai kempen dan inisiatif masa depan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kehadiran jenama itu di Malaysia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami