KEGUNDAHAN Paul Pogba di Manchester United harus satu khabar gembira buat Real Madrid dalam proses pemugaran semula pasukannya.

Skuad The Red Devils kendalian Jose Mourinho tiada hasrat untuk menjual bintang barisan tengah mereka itu, yang baru memasuki tahun kedua daripada kontrak lima tahunnya.

Pogba sendiri tidak berhajat untuk angkat kaki dari Old Trafford.

Namun, laporan terbaru dari Sepanyol menyebut Real Madrid sedang mempersiapkan ikhtiar memikat pemain antarabangsa Perancis itu dengan tawaran mengatasi £120 juta (RM655 juta) dengan kepercayaan mereka mampu menyediakannya pentas untuk kembali cemerlang apabila musim ini berakhir.

Real, yang kecundang dalam LaLiga musim ini, sedang memantau perkembangan Pogba, 24, di United selepas pemain tengah itu disisihkan oleh Jose Mourinho akhir-akhir ini dipercayai gara-gara kemerosotan prestasi.

Diandaikan United bersedia mengubah pendirian untuk menjualnya, juara bertahan Liga Juara-Juara dari Sepanyol itu harus perlu menawarkan bidaan lebih daripada £120 juta -- £30 juta mengatasi harga beliannya sebanyak £89 juta daripada Juventus, 18 bulan lalu.

Ia juga harus berkisar kepada apa yang dimahukan Pogba, yang akhir-akhir kini kelihatan banyak bermurung berbanding ketika dia mula-mula tiba di Old Trafford.

Bintang Sepanyol itu dikeluarkan ketika kekalahan 0-2 United kepada Tottenham bulan lalu dan digugurkan daripada perlawanan menentang Huddersfield.

Dia sekali lagi ditarik keluar dalam kekalahan 0-1 kepada Newcastle dengan riak wajahnya menampakkan rasa marah dan kecewa.

Kepada khalayak, Mourinho menyatakan sokongan terbukanya kepada pemain tengahnya itu sambil memuji sikap profesionalnya.

Dalam pada itu, ketibaan Alexis Sanchez daripada Arsenal dikhabarkan turut menjadi faktor yang membuat Pogba berasa goyah – tambahan pula dia tidak gembira dengan peranan lebih bertahan yang ditugaskan oleh pengurusnya itu.

Pada masa yang sama, Mourinho yang berang, menolak sebarang cadangan wujudnya isu di antaranya dan pemain antarabangsa Perancis itu.

“Saya fikir anda sangat bersopan dengan tutur kata anda dengan mengatakan ‘ada banyak spekulasi’ sedangkan anda patut mengatakan ‘ada banyak pembohongan’,” bentaknya kepada wartawan, Jumaat lalu.


"Saya menerimanya dan saya boleh bercakap bagi pihak Paul tanpa sebarang masalah. Paul menerima bahawa dia tidak bermain dengan bagus dalam beberapa perlawanan terakhir ini tapi itulah saja.

"Tapi majoriti daripada perkara-perkara yang anda boleh baca dan dengar, bersikap objektiflah dan katakan ia pembohongan

"Saya tidak perlu bercakap dengan anda mengenai perbualan saya dengan pemain-pemain saya. Saya tidak perlu memberitahu anda apa-apa mengenainya,” tambah pengurus berbangsa Portugis itu.

“Ia adalah masalah saya,masalah pemain-pemain. Ia adalah satu pembohongan besar bahawa hubungan di antara kami tidak baik, pembohongan besar yang kami tidak berkomunikasi, pembohongan besar yang kami tidak bersetuju dengan posisinya dan pembabitannya dengan dinamika pasukan.”

Mourinho turut mengakui bahawa Pogba tidak bermain dengan baik dalam dua perlawanan terakhirnya.

“Namun, ia masalah saya dan dia untuk menanganinya dan cuba meningkatkan semula tahap prestasinya.”

Pogba, pada ketika ini, tiada cadangan untuk meninggalkan United.

Tapi ia tidak akan menghalang Real daripada berusaha mengubah fikirannya jika keadaan makin mengecewakannya menjelang akhir musim.


*Shaukei Kahar merupakan pengulas sukan ternama tanah air dan juga penulis buat Astro Arena.

**Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.