Zinedine Zidane mendedahkan meminati bintang Manchester United, Paul Pogba, namun enggan mengulas kemungkinan perpindahan pemain itu ke Real Madrid.

Pemain tengah berusia 26 tahun itu sebelum ini disebut-sebut antara nama yang bakal menyertai Los Blancos dalam kempen La Liga akan datang.

"Ya, saya suka Pogba, tetapi mana-mana jurulatih pun menyukai pemain yang baik, seperti juga peminat bola sepak.

"Tetapi dia pemain Manchester United dan saya tidak akan bercakap tentang perpindahan," katanya pada sidang media menjelang pertembungan La Liga bersama Real Sociedad.

Pogba kembali menyertai Manchester United dari Juventus pada musim panas 2016 dengan bayaran perpindahan mencatatkan rekod dunia.

Bagaimanapun dia dilaporkan tidak gembira untuk kekal di Old Trafford ketika ini.

Real Madrid dijangka menyediakan peruntukan besar bagi jendela perpindahan yang akan datang selepas melalui kempen 2018-19 yang mengecewakan.

Sama ada ia membabitkan usaha membawa Pogba ke Santiago Bernabeu, Zidane enggan mengulas lanjut.

Berbaki dua perlawanan, Real Madrid hanya berpuas hati di tangga ketiga, enam mata di belakang Atletico Madrid, dengan Barcelona telah mengesahkan kejuaraan liga musim ini.