Penyandang jawatan, Sepp Blatter berjaya mempertahankan jawatan sebagai presiden FIFA untuk penggal kelima pada Jumaat dalam satu pengakhiran episod rasuah yang melanda kepimpinan organisasi tertinggi bola sepak dunia itu.

Pencabarnya Putera Ali Al Hussien dari Jordan menarik diri pada pengundian akhir selepas berjaya menghalang Blatter mendapatkan undi majoriti pada pusingan pertama pengundian semalam.

Blatter, yang menolak cadangan agar dia meletak jawatan, berbangga dengan kemenangan dan berjanji untuk membebaskannya dari kemelut rasuah.

Blatter, FIFA, AP
Putera Ali Al Hussien dari Jordan menarik diri pada pengundian akhir untuk memberi kemenangan kepada Blatter - Foto AP

“Saya tidak sempurna. Tiada orang yang sempurna. Tetapi kami akan bekerjasama,” kata Blatter.

Di laman sosial, ramai yang tidak terkejut dengan pemilihan kembali Blatter ke jawatan berkenaan, memandangkan korupsi yang melanda teraju badan bola sepak dunia itu tampak sudah begitu serius.

Ramai yang berpendapat, kemenangan Blatter adalah kemenangan bagi mereka yang mengamalkan rasuah.


Ada juga yang percaya pengaruh rasuah sudah terlalu berleluasa di dalam FIFA sehingga membolehkan Blatter dipilih semula.



Tidak kurang juga meluahkan kebimbangan terhadap masa depan bola sepak dunia.



Kempen pemilihan presiden FIFA diakhiri dengan penangkapan seramai tujuh pegawai FIFA di Zurich pada Jumaat , termasuk dua naib presiden, yang dituduh oleh pihak berkuasa AS telah mengambil rasuah bernilai puluhan juta dolar.

Polis Switzerland juga kini sedang menyiasat pemberian hak Piala Dunia 2018 dan 2022 kepada Rusia dan Qatar.