ALOR SETAR: Prestasi tidak menentu dan terumbang-ambing Naib Juara Liga Super 2021, Kedah Darul Aman FC (KDAFC) bukan berpunca daripada masalah tunggakan gaji seperti yang didakwa dan diperkatakan pihak tertentu di media sosial.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebaliknya, berkata, pihaknya telah mendapatkan maklumat terperinci daripada pengurusan KDAFC berhubung prestasi semasa pasukan gergasi utara itu dan mendapati tidak berpunca daripada masalah kewangan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, dakwaan dan fitnah yang dilemparkan individu yang tidak bertanggungjawab itu juga bertujuan menyalahkan kerajaan negeri meskipun skuad bola sepak negeri itu kini diuruskan syarikat swasta.

Sehubungan itu, pihak KDAFC, kata Muhammad Sanusi, akan mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana individu yang terlibat dalam membuat hantaran berunsur fitnah itu.

"Saya ada baca satu berita tadi, ada orang buat isu kata pasukan bola sepak prestasi flip flop pasal tak bayar gaji, saya sudah tanya KDAFC, mereka maklumkan tidak ada tunggakan gaji.

"Mereka sedang menyediakan notis saman kepada pihak yang menularkan kononnya KDAFC, tidak bayar gaji player, yang itu tunggu surat saman, selamat menjawab di mahkamah kepada pihak yang ‘gatai’ (ghairah) sangat (membuat dakwaan),"

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusilan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini, pada Rabu.

Semalam, kemarau kemenangan pasukan KDAFC sekali lagi berterusan selepas terikat 3-3 dengan pasukan PJ City FC dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Terdahulu skuad bimbingan Aidil Sharin itu turut tumpas dengan Melaka United FC 2-3 di laman sendiri, selain 0-4 dengan Sabah FC di Stadium Likas dan 1-4 di tangan Selangor FC.