KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia Rexy Mainaky berkata beliau hanya 70 peratus berpuas hati dengan prestasi keseluruhan skuad badminton negara, sepanjang tahun ini.

Beliau berkata ini kerana pasangan beregu elit negara dan beberapa pasangan simpanan telah menunjukkan prestasi agak baik tahun ini.

"Walaupun ia (tahap itu) tidak mencapai 100 peratus, tetapi saya masih gembira untuk melihat bukan sahaja pasangan elit negara, tetapi beberapa pasangan simpanan juga baik. Diharapkan kita akan dapat melahirkan lebih ramai juara tahun hadapan," katanya ketika ditemui di ABM Bukit Kira di sini baru-baru ini.

Antara pencapaian oleh pasangan beregu negara sepanjang tahun ini ialah pasangan beregu utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang memenangi gelaran terbuka pertama mereka pada Oktober.

Pasangan lain termasuklah Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang berjaya mengekalkan gelaran Terbuka Taiwan Jun lepas, dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri menang gelaran pertama mereka di Kejohanan Antarabangsa Syed Modi 2023, di Lucknow, India, walaupun hanya mula berpasangan tiga bulan iaitu pada Ogos.

Pasangan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pula memenagi dua gelaran iaitu Masters Orleans di Perancis pada April dan kemudiannya Terbuka Taiwan.

Bekas pakar beregu dari Indonesia itu bagaimanapun berharap untuk melihat pemain perseorangan negara tidak akan hanya berharap kepada Ng Tze Yong dan mahukan pemain lain seperti Leong Jun Hao dan Justin Hoh, akan bermain dengan lebih baik lagi tahun hadapan.

Bagi kategori wanita pula, beliau mengakui bahawa pemain perseorangan masih bergelut untuk menghasilkan keputusan dengan kecederaan pada belakang pemain beregu utama negara Pearly Tan pada separuh kedua tahun ini telah menyebabkan prestasinya bersama M.Thinaah merudum, dengan mereka gagal membawa sebarang gelaran tahun ini.

Prestasi terbaik Pearly-Thinaah tahun ini ialah menduduki tempat kedua dua kali iaitu di Masters Malaysia pada Mei dan Terbuka Hong Kong pada September.

Dalam masa sama, Rexy berkata mereka akan membantu Pearly pulih dan memastikan beliau kembali beraksi tahun hadapan tanpa kecederaan.

-- BERNAMA