SUKAN
PSG, Miami, Palmeiras, Botafogo layak ke pusingan 16 Piala Dunia Kelab
NEW YORK: Paris Saint-Germain, Botafogo, Inter Miami dan Palmeiras mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia Kelab FIFA pada Isnin manakala Atletico Madrid tersingkir hanya dengan perbezaan jaringan, lapor Xinhua.
Ringkasan AI
- Empat pasukan mara ke pusingan 16 terbaik: Paris Saint-Germain, Botafogo, Inter Miami dan Palmeiras layak ke pusingan seterusnya, dengan Botafogo layak walaupun tewas 0-1 kepada Atletico Madrid kerana kelebihan jaringan keseluruhan.
- Atletico Madrid tersingkir meskipun menang, kerana hanya menang tipis 1-0 dan gagal mencapai keperluan menang sekurang-kurangnya dengan tiga gol untuk layak.
- PSG menewaskan Seattle Sounders 2-0, manakala Inter Miami seri 2-2 dengan Palmeiras walaupun mendahului dua gol, dan perlawanan menarik 4-4 antara Porto dan Al Ahly menyaksikan kedua-duanya tersingkir.
Jaringan tunggal Antoine Griezmann tidak memadai buat kelab dari Sepanyol itu untuk mara selepas Atletico Madrid perlu menang dengan sekurang-kurangnya tiga gol.
Botafogo, yang menamatkan saingan di tempat kedua Kumpulan B akan menentang Palmeiras di Philadelphia pada Sabtu ini.
Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone berkata beliau kecewa tetapi tidak bimbang dengan penyingkiran awal pasukannya.
"Kami kecewa kerana gagal mara. Tetapi kami tenang dan jelas tentang apa yang perlu diperbaiki. Saya bangga dengan usaha yang ditunjukkan oleh pemain. Kami sudah memberikan segalanya. Kami menang dua daripada tiga perlawanan. Malangnya, kami tersingkir," katanya.
Di Seattle, Paris Saint-Germain memastikan kemaraan mereka apabila dengan mudah mengatasi Seattle Sounders 2-0.
Juara Eropah itu membuka tirai jaringan pada minit ke-35 menerusi percubaan jarak jauh Vitinha yang terkena rakan sepasukan Khvicha Kvaratskhelia sebelum menerjah gawang.
Achraf Hakimi menggandakan kedudukan selepas sejam apabila mengawal hantaran Bradley Barcola sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Switzerland, Stefan Frei.
PSG akan berdepan Inter Miami di Atlanta pada Ahad ini untuk merebut tempat ke suku akhir.
"Kami mahu pergi sejauh mungkin, dan saya percaya pemain sudah bersedia. Persaingan sebenar bermula sekarang dan ia pasti sukar," kata pengurus PSG, Luis Enrique.
Di Miami, Palmeiras bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk seri 2-2 dengan Inter Miami.
Tadeo Allende meletakkan Inter Miami di depan dengan penyudah tajam hasil serangan balas sebelum Luis Suarez menjadikan kedudukan 2-0.
Namun, Palmeiras meningkatkan asakan sebelum Paulinho merapatkan jurang sebelum Mauricio menyamakan kedudukan tiga minit sebelum tamat perlawanan.
Dalam satu lagi perlawanan pada Isnin, persembahan cemerlang Abou Ali tidak cukup untuk membawa Al Ahly ke pusingan seterusnya selepas seri 4-4 dengan Porto.
Abou Ali menjaringkan gol pada minit ke-15 dan menyempurnakan sepakan penalti sebelum rehat serta melengkapkan hatrik sejurus selepas separuh masa kedua bermula.
Mohamed Ali Ben Romdhane turut menyumbang gol untuk Al Ahly manakala Rodrigo Moura, William Gomes, Samu Aghehowa dan Pepe menjaringkan gol untuk Porto.
Kedua-dua pasukan hanya mencatat dua keputusan seri daripada tiga perlawanan kumpulan masing-masing.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami