KUALA LUMPUR:Pemenang pingat emas Sukan Asia sebanyak dua kali R. Puvaneswaran bakal kembali ke skuad negara apabila sah dilantik sebagai jurulatih skuad karate kebangsaan dengan kontrak setahun.

Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) Datuk Nur Azmi Ahmad berkata Petunjuk Prestasi Utama (KPI) jurulatih itu yang sebelum ini berkhidmat bersama Thailand ialah mempertahankan status skuad negara selaku juara keseluruhan pada Sukan SEA di Hanoi, hujung tahun ini.

Puvaneswaran, 46, akan menggantikan ketua jurulatih Ali Reza Souleymani dari Iran yang kontraknya tidak diperbaharui oleh Makaf, kerana mahu jurulatih yang lebih ke hadapan (advanced).

"Beliau dipilih berdasarkan pengalaman dan prestasinya sebagai atlet dan jurulatih terutamanya bersama Thailand. Sukan SEA dan Sukan Asia akan menjadi penilaian utama bagi beliau, yang kita mahu muncul juara keseluruhan (buat kali keempat berturut-turut).

"Kontrak Ali tidak diperbaharui bukan kerana beliau tidak bagus, tetapi kita mahu seorang jurulatih yang lebih ke hadapan, manakala kualiti jurulatih luar negara itu juga lebih kurang dengan jurulatih tempatan," katanya ketika dihubungi Bernama selepas mesyuarat Exco Makaf yang diadakan secara maya, pada Sabtu.

Menurut Azmi, antara Puvaneswaran serta dua jurulatih sedia ada - S. Mahendran dan Alexander Arlanthu - seorang daripada mereka akan dipertanggungjawab untuk memastikan atlet negara layak ke Sukan Olimpik Tokyo Julai ini.

"Dalam struktur baharu ini, kita tiada ketua jurulatih, jadi mereka akan dipantau oleh pasukan teknikal kita yang diketuai Timbalan Presiden Datuk Vincent Chen.

"Selepas ini, kami akan tentukan siapa antara tiga jurulatih ini yang akan diberi tanggungjawab melatih atlet 'Road to Tokyo' (S. Prem Kumar dan R. Sharmendran). Walaupun tugas layak ke Olimpik itu sukar, kami mahu pastikan kita ada wakil di Tokyo," jelasnya.

Beliau berkata mesyuarat itu juga telah memutuskan untuk memindahkan pusat latihan skuad pelapis ke ibu negara dari Pulau Pinang.

Dalam 20 tahun kariernya sebagai atlet kumite negara (1990-2010), Puvaneswaran pernah menyumbangkan pingat emas pada Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan dan 2010 Guangzhou, China; selain pingat perak pada edisi 2006 Doha, Qatar dan gangsa edisi 1994 di Hiroshima, Jepun.

Beliau kemudian menjadi jurulatih kem kebangsaan bermula 2011 hingga 2015, sebelum membimbing skuad Thailand bermula 2017 hingga 2019.

Di Thailand, Puvaneswaran berjaya membantu negara gajah perang itu mencapai keputusan terbaik Sukan SEA dengan meraih sebutir pingat emas, lima perak dan lima gangsa di Kuala Lumpur 2017, sebelum memperbaiki pencapaian itu di Filipina 2019 dengan 3-2-3.

-- BERNAMA