RAFAEL Nadal secara dasarnya "lumpuh" sebelum mengumumkan akan terlepas baki saingan musim ini setelah bergelut sepanjang tahun ini, kata jurulatihnya, Carlos Moya.
Juara 20 Grand Slam dan bekas pemain nombor satu dunia itu bakal terlepas Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang akan datang tetapi berharap dapat kembali pada tahun depan, tetapi Moya mengatakan timbul tanda tanya mengenai apakah rawatan terbaik terhadap masalah kaki yang dihadapi pemain berusia 35 tahun berkenaan.
Dalam pengumumannya untuk menarik diri daripada sisa kempennya, Nadal menyatakan masalah kaki yang membelenggunya sejak 2005 telah mendorongnya keputusan pahit itu.
Pemain Sepanyol itu berehat selepas tumpas kepada Novak Djokovic dalam separuh akhir Terbuka Perancis sebelum terlepas Terbuka Wimbledon dan Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Dia berusaha untuk kembali selepas bekerja keras tetapi kalah kepada pemain Afrika Selatan, Lloyd Harris, dalam perlawanan keduanya di Washington.


Moya menjelaskan Nadal masih mampu memanjangkan kariernya sungguhpun sentuhannya diragui sejak 16 tahun lalu hasil penggunaan alas tapak kasut dan rawatannya.
"Tetapi sesi latihannya pada tahun ini telah banyak berubah," kata Moya.
"Dia tidak dapat melengkapkan latihannya dan kami harus mengubah dan meredakan keamatan kakinya dengan mempertimbangkan kejohanan yang akan disertainya.
"Dia telah menderita selama berbulan-bulan dan kini dia tidak mampu bertahan lagi. Dalam perlawanan terakhir, dia beraksi dengan lemah lembut.
"Pendekatan terbaik buatnya adalah berhenti, merehatkan kaki dan menyegarkan fikirannya."
Bercakap dalam rancangan El Transistor do Onda Cero, Moya berkata: "Kecederaan ini tidak diketahui datang dari mana. Kami melakukan pemeriksaan lanjut tetapi tidak jelas apakah rawatan terbaiknya.
"Objektif utama Rafa adalah untuk kembali dengan kakinya sembuh termasuk fikirannya kerana terpinggir sepanjang tahun ini tidak membantunya."