RANKING dunia FIFA Harimau Malaya meningkat kepada 154 bulan ini berbanding 158 bulan lalu, selepas mengutip 31 mata dalam tempoh sebulan, hasil kejayaan dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Malaysia juga menjadi pasukan yang paling banyak mengutip mata di dunia dalam tempoh 24 Oktober hingga 28 November tahun ini.

Malaysia mempamerkan prestasi yang cemerlang dalam Kelayakan Piala Dunia selepas menewaskan Thailand 2-1 pada 14 November dan Indonesia pada 19 November.

Di bawah bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe juga, skuad Harimau Malaya menambah 3.24 mata ranking dunia selepas menewaskan Tajikistan 1-0 dalam satu perlawanan persabahatan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 9 November.

Myanmar pasukan paling berjaya dalam kenaikan ranking dunia apabila melonjak 11 anak tangga untuk berada pada ranking ke-136 dunia.

Kenaikan Myanmar didorong kejayaan menewaskan Nepal, Tajikistan dan Mongolia dalam Kelayakan Piala Dunia.

Lima pasukan terbaik dunia masih kekal dengan Belgium mengungguli ranking paling atas diikuti dengan Perancis, Brazil, England dan Uruguay.

Croatia naik satu anak tangga ke tangga keenam yang menyaksikan Portugal jatuh ke ranking ketujuh dunia.

Tahniah Harimau Malaya!