Atlet hoki, Muhammad Razie Abd. Rahim dan atlet renang, Chui Lai Kwan ditabalkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Majlis Anugerah Sukan UPM ke-30, 2013.

Razie, pelajar tahun 4 pengkhususan Pembangunan Sumber Manusia merupakan pemain hoki tempatan yang pernah mewakili negara dalam Kejohanan Hoki Cabaran Juara-juara 1, 2012 peringkat separuh akhir di Quilmes, Argentina.

Lai Kwan, pelajar jurusan Sains dan Teknologi Makanan pula unggul meriah dengan memenangi 14 emas dalam Kejohanan Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) dan 13 emas bagi Kejohanan Sukan Universiti Malaysia (MASUM) tahun lalu.

Majlis pengiktirafan khusus buat warga sukan UPM itu turut menyaksikan Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan menjadi milik atlet ragbi, Zulkiflee Azmi dan atlet karate-do, Mathivani Murugeesan.

Skuad ragbi pula unggul meraih Anugerah Pasukan Cemerlang, manakala pasukan bola sepak menggondol dua anugerah iaitu Anugerah Jurulatih Cemerlang dan Anugerah Pengurus Cemerlang.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran.

Shatar dalam ucapannya berkata, majlis seumpama ini merupakan satu pengiktirafan kepada semua pihak kerana telah bertungkus lumus dalam memastikan UPM berperanan membantu dalam kecemerlangan sukan negara.

"Anugerah ini kelak akan mendorong kepada semua pihak di UPM untuk melibatkan diri secara aktif dalam program sukan dan akhirnya dapat meningkatkan lagi pencapaian sukan di peringkat UPM khasnya dan negara amnya," ujar beliau.

Turut hadir, bekas atlet negara, Datuk Marina Chin.