KARIM Benzema terlepas aksi LaLiga Real Madrid menentang Granada di Stadium Santiago Bernabéu akibat kecederaan otot kaki, kata pengendali Los Blancos, Carlo Ancelotti.

"Dia diketepikan setelah menjalani berlatih beberapa hari akibat tidak cukup sihat, kami masih perlu menunggu dua atau tiga hari. Dia akan berada di pusat latihan untuk perlawanan seterusnya (menentang Villarreal)," kata Ancelotti pada sidang akhbar.

Penyerang Perancis itu sebelum ini terpaksa dikeluarkan awal semasa perlawanan menentang Elche bulan lalu.

Pendahulu liga itu juga kehilangan khidmat Benzema ketika Los Blancos dikecewakan Athletic Bilbao 1-0 di San Mames pada suku akhir Piala Raja Sepanyol pada Khamis.

"Dia penjaring terbanyak LaLiga, menjaringkan gol sememangnya satu kebiasaan kepadanya. Jadi apabila pasukan kehilangan kudratnya, kesannya cukup amat dirasai.

"Mana-mana pasukan, jika mereka mempunyai Benzema dan dia hilang, mereka akan menyedari ketiadaannya.

"Namun kami juga pernah memenangi perlawanan tanpa dia sebelum ini, seperti menentang Inter Milan, Real Sociedad atau Elche. Dia boleh digantikan," katanya.

Sementara itu, penyerang Belgium, Eden Hazard juga terlepas perlawanan menentang Bilbao sebelum ini.

"Secara peribadi tiada apa-apa yang berlaku, malah juga bukan berkaitan fizikal, dan dia berlatih baik-baik saja. Namun saya perlu membuat keputusan menurunkan yang terbaik. Jika dia tidak berada pada tahap terbaik saya lebih suka mencari pemain lain," kata Ancelotti.

Ancelotti berdepan dilema menurunkan barisan terbaik setelah tonggaknya Vinicius Jr berdepan pengantungan.

Real Madrid menerima kunjungan Granada ketika liga kembali selepas rehat dua minggu.

Anak buah Ancelotti pada ketika ini memimpin liga dengan 50 mata selepas mengharungi 22 perlawanan, empat mata di hadapan Sevilla di tempat kedua.


Artikel asal di Sinar Harian