KUALA LUMPUR: Rekod lompatan setinggi 2.27 meter (m) dicipta jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa, pada kejohanan dalam dewan Hvezdy v Nehvizdech di Republik Czech baru-baru ini belum disahkan secara rasmi sebagai rekod baharu kebangsaan.

Namun, Ketua Jurulatih Skuad Olahraga Kebangsaan Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata dari segi teknikal catatan tersebut telah melepasi rekod kebangsaan lompat tinggi dalam dewan sebelum ini.

Katanya, catatan itu hanya akan diiktiraf Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) selepas meneliti segala maklumat dan dokumen daripada World Athletics bagi mengesahkan secara rasmi rekod berkenaan.

"Pencapaian dia (Nauraj) secara rasmi sudah berada dalam World Athletics, tetapi segala dokumen dan bukti itu perlu dibawa ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Statistik (KOM) untuk diputuskan, ia adalah prosedur biasa," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mohd Manshahar berkata jika catatan itu diperaku Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan KOM, anak buahnya yang telah pun layak berdasarkan merit ke Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, juga akan layak untuk beraksi di Sukan Asia Hangzhou 2022.

"(Kejohanan) Dalam dewan dan luar dewan tidak sama dari segi prestasi, kalau MOM dan KOM menerima ia sebagai satu syarat yang membolehkan dia layak, jadi catatan itu boleh dipakai," katanya.

Catatan 2.27m dilakukan Nauraj pada kejohanan yang berlangsung di Tipsport Arena di Prague pada 30 Jan lepas.

Tiga hari sebelum itu beliau melakukan lompatan setinggi 2.22m pada kejohanan dalam dewan Kladno, juga di Prague.

Dua catatan itu menyaksikan Nauraj, yang merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA tiga kali berturut-turut sejak 2013, berjaya meraih tempat kedua pada kedua-dua kejohanan itu.

"Pada pandangan saya ia satu pencapaian yang baik dan satu permulaan tahun baharu yang sangat-sangat memberangsangkan menjelang Sukan Komanwel dan Sukan Asia," katanya.

Beliau berkata anak buahnya itu telah menunjukkan kemajuan yang baik, sekali gus menunjukkan bahawa latihan di Eropah membuahkan hasil.

Nauraj merupakan pemegang rekod kebangsaan bagi acara lompat tinggi dalam dewan sebelum ini iaitu 2.20m yang dilakukannya di Kejohanan Indoor Track and Field Vienna 2021.

Beliau juga memegang rekod kebangsaan acara lompat tinggi luar dewan dengan catatan 2.30m yang dicatatkan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura 2017.

-- BERNAMA