PENYERANG sensasi Manchester United, Cristiano Ronaldo tidak akan dijual biarpun bintang Red Devils tersebut tidak menyertai siri jelajah pra-musim gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut.

Sebaliknya, tegas pengendali Red Devils, Erik ten Hag, gergasi liga Inggeris itu telah pun menyusun perancangan buat bintang Portugal berusia 37 tahun tersebut bagi mengharungi saingan musim baharu.

“Kami telah menyediakan perancangan buat Cristiano Ronaldo untuk musim ini dan saya tidak sabar untuk bekerja dengannya.

“Saya telah membaca desas-desus sebelum ini, namun apa yang saya katakan ialah Cristiano bukan untuk dijual, malah dia ada dalam perancangan kami.

“Malah saya telah bercakap dengannya sebelum isu ini timbul.

"Saya berbual dengannya dan kami berbual dengan baik,” ujar Ten Hag menjelang perlawanan persahabatan pra-musim pertama Manchester United menentang Liverpool di Bangkok.

Ronaldo sebelum ini dilaporkan memohon meninggalkan The Old Trafford selepas tidak berpuas hati dengan prestasi buruk kelab itu sejak kembali ke Manchester tahun lalu - apabila menduduki tempat keenam liga menyaksikan kelab tersebut beraksi pada saingan Liga Europa musim depan.

Bekas pemain Real Madrid dan Juventus itu sebelum ini terlepas latihan bersama kelab gergasi liga Inggeris itu minggu lalu kerana masalah keluarga.

Malah pemain itu juga tidak menyertai para pemain Red Devils lain untuk siri jelajah pra-musim.

Ten Hag tiba di United pada Mei selepas melabuh tirai karier cemerlang di Ajax, namun berdepan cabaran besar untuk membina semula Manchester United yang tidak memenangi trofi sejak 2017.

Untuk rekod, Ronaldo menjaringkan 24 gol dalam semua pertandingan musim lalu dinobatkan sebagai pemain terbaik kelab itu. -Sinar Harian