Ronaldo pecah rekod lagi, Portugal tergelincir di Lisbon

Ronaldo mearikan ekjayaan menjaringkan gol ketika perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 kumpulan F antara Portugal dan Hungary di Lisbon, 14 Okt 2025. (Foto AP)
CRISTIANO Ronaldo sekali lagi mencipta sejarah baharu di pentas antarabangsa apabila meledak dua gol untuk Portugal, namun aksi cemerlang itu tidak cukup membantu pasukannya menundukkan Hungary selepas seri 2-2 dalam saingan Kumpulan F Kelayakan Piala Dunia 2026 di Estádio José Alvalade, Lisbon pada Rabu.
Ronaldo, 40, kini menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah kelayakan Piala Dunia dengan 41 gol, menewaskan rekod lama milik legenda Guatemala, Carlos Ruiz yang mengumpul 39 gol.
Kemenangan sepatutnya sudah hampir milik Portugal selepas mendahului hingga ke minit akhir perlawanan, namun detik malang tiba apabila pemain tengah Liverpool, Dominik Szoboszlai menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan minit ke-91.
Gol itu sekali gus menggagalkan usaha skuad kendalian Roberto Martínez untuk mengesahkan tiket awal ke pusingan akhir di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat tahun depan.Portugal masih kekal di tangga teratas Kumpulan F dengan kelebihan lima mata, namun perlu menunggu sehingga 13 November ini untuk mengesahkan kelayakan apabila bertandang ke Dublin menentang Republik Ireland.
Perlawanan di Lisbon bermula dengan penuh dramatik apabila Hungary membuka jaringan seawal minit kelapan hasil sentuhan pertahanan Attila Szalai yang menyempurnakan umpanan kemas Szoboszlai.
Namun, Portugal segera bangkit apabila Ronaldo menyamakan kedudukan pada minit ke-22, menolak masuk hantaran rendah Nelson Semedo dari sebelah kanan.
Bintang veteran itu terus membuktikan ketajamannya apabila menyumbat gol kedua pada minit ke-44, hasil gerakan satu-dua cantik bersama Nuno Mendes, sekali gus meletakkannya sebagai gol ke-948 dalam karier dan gol ke-143 bersama Portugal.
Bagaimanapun, sorakan penyokong tuan rumah bertukar hampa apabila Szoboszlai sekali lagi menjadi watak utama Hungary, menjaringkan gol lewat permainan yang memastikan pasukannya kekal dalam perebutan kejuaraan kumpulan.
Sepanjang karier antarabangsa 22 tahun, Ronaldo pernah membantu Portugal menjulang Euro 2016 dan dua edisi Liga Negara-Negara UEFA, namun kejuaraan dunia masih belum menjadi miliknya pencapaian terbaik setakat ini ialah mara ke separuh akhir Piala Dunia 2006 sebelum tewas kepada Perancis dan kemudian tumbang kepada Jerman dalam penentuan tempat ketiga.
Keputusan seri ini juga memastikan Hungary kekal di tangga kedua kumpulan, satu mata di hadapan Republik Ireland yang menewaskan Armenia 1-0 di Dublin. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami