DERBY COUNTY 4 NORTHAMPTON TOWN 2

Wayne Rooney akan menjadi duri dalam daging buat bekas kelabnya, Manchester United, selepas membantu Derby County menewaskan Northampton Town 4-2 dalam perlawanan ulangan pusingan keempat Piala FA awal pagi tadi.

Pemenang perlawanan di Pride Park itu akan mengesahkan pertemuan dengan United dalam pusingan kelima -- dijangka berlangsung pada 3 atau 5 Mac ini tanpa perlawanan ulangan.

Pertemuan semula di antara Rooney dan bekas pasukannya itu menjadi kenyataan dengan penyerang berkenaan turut menjaringkan gol sepakan penalti pada minit ke-77 untuk menewaskan lawan dari Liga Dua (divisyen empat) itu.

Selepas menyertai United daripada Everton pada 2004, Rooney menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu dengan menghasilkan 253 gol daripada 559 perlawanan.

Dia kemudian meninggalkan Old Trafford untuk kembali ke Everton pada 2017 sebelum menyertai Liga Utama Amerika Syarikat (MLS) bersama DC United.

Derby menandatangani Rooney tahun lalu dengan bekas kapten England itu sah menyertai mereka bulan lalu.

Setakat ini, dia sudah menjaringkan tiga gol daripada lapan perlawanan skuad The Rams itu dalam kesemua kejohanan.